2. Apabila raja Yehuda mendengar bahawa tentera Siria telah berada di kawasan Israel, raja dan rakyatnya sangat ketakutan sehingga mereka gementar seperti pokok digoyangkan angin.
3. TUHAN berfirman kepada Yesaya, “Bawalah anakmu, Syear Yasyub dan pergilah menghadap Raja Ahas. Engkau akan menemuinya di jalan tempat pembuat kain bekerja, di hujung parit yang menyalurkan air dari kolam yang di sebelah atas.
4. Suruhlah dia berwaspada dan tenang. Dia tidak usah takut ataupun gelisah. Kemurkaan Raja Rezin dan orang Siria serta Raja Pekah tidak lebih berbahaya daripada asap dua puntung kayu api.
5. Siria telah berkomplot dengan Israel dan rajanya.
6. Mereka hendak menyerang Yehuda dan menakut-nakutkan penduduknya supaya berpihak kepada mereka, lalu melantik anak lelaki Tabeel menjadi raja.
7. Tetapi Aku, TUHAN, berfirman bahawa perkara ini sekali-kali tidak akan berlaku,
8. kerana Siria tidak lebih kuat daripada Damsyik, ibu kotanya, dan Damsyik pun tidak lebih kuat daripada Raja Rezin. Sedangkan dalam masa enam puluh lima tahun, Israel akan berpecah belah sehingga tidak dapat bertahan sebagai satu bangsa.
9. Israel tidak lebih kuat daripada Samaria, ibu kotanya, dan Samaria pun tidak lebih kuat daripada Raja Pekah.Jika kamu tidak sungguh-sungguh percaya kepada-Ku, pasti kamu akan jatuh.”
10. TUHAN menyampaikan satu lagi perkhabaran kepada Raja Ahas.
11. “Mintalah supaya TUHAN, Allahmu memberikan satu tanda kepadamu, sama ada dari dunia orang mati di bawah, atau dari langit di atas.”
12. Raja Ahas menjawab, “Beta tidak mahu meminta tanda. Beta tidak mahu menguji TUHAN.”
13. Lalu Yesaya berkata, “Dengarlah baik-baik, hai keturunan Raja Daud. TIdak cukupkah tuanku menguji kesabaran manusia? Mestikah tuanku menguji kesabaran Allah hamba juga?