Yesaya 56:4-12 Alkitab Berita Baik (BM)

4. TUHAN berfirman kepada orang itu, “Jika kamu menghormati Aku dengan merayakan hari Sabat, dan jika kamu melakukan perkara-perkara yang menyenangkan hati-Ku, serta berpegang teguh pada perjanjian-Ku,

5. maka nama kamu akan diingat di dalam Rumah-Ku dan di kalangan umat-Ku. Hal itu lebih baik daripada mempunyai anak lelaki dan anak perempuan. Kamu tidak akan dilupakan.”

6. TUHAN berfirman kepada orang bangsa asing yang telah menjadi sebahagian daripada umat-Nya, yang mengasihi Dia dan berbakti kepada-Nya, yang merayakan hari Sabat serta berpegang teguh pada perjanjian-Nya,

7. “Aku akan membawa kamu ke Sion, bukit-Ku yang suci. Aku akan memberi kamu kegembiraan di dalam rumah doa-Ku. Aku akan menyambut korban-korban yang kamu persembahkan di mazbah-Ku. Rumah-Ku akan disebut rumah doa bagi semua bangsa.”

8. TUHAN Raja yang membawa umat-Nya pulang dari pembuangan telah berjanji bahawa Dia juga akan mengumpulkan bangsa lain untuk bergabung dengan mereka yang sudah terkumpul.

9. TUHAN telah menyuruh bangsa-bangsa asing datang seperti binatang buas untuk memakan umat-Nya.

10. Dia berfirman, “Semua pemimpin umat-Ku buta. Mereka seharusnya memberikan amaran kepada umat-Ku. Mereka tidak tahu apa-apa. Mereka seperti anjing pengawal yang tidak dapat menyalak; mereka hanya tahu tidur dan bermimpi.

11. Mereka seperti anjing yang rakus; tidak puas-puas makan. Mereka tidak mempunyai pengertian; masing-masing berbuat sesuka hati dan mencari keuntungan diri sendiri.

12. Pemabuk-pemabuk itu berkata, ‘Marilah kita minum wain dengan sepuas-puasnya. Esok lebih baik daripada hari ini.’ ”

Yesaya 56