9. Aku mendengar TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, “Semua rumah yang besar dan indah ini akan menjadi reruntuhan tanpa penghuni.
10. Pokok-pokok anggur yang tumbuh di tanah seluas sepuluh hektar akan menghasilkan lapan liter wain sahaja. Seratus lapan puluh liter benih hanya akan menghasilkan lapan belas liter gandum.”
11. Malanglah kamu! Kamu bangun pagi-pagi dan mula minum minuman keras. Lalu kamu mabuk sehingga larut malam.
12. Dalam pesta-pesta kamu ada bunyi kecapi, gambus, tamburin, dan seruling, dan juga minuman wain, tetapi kamu tidak tahu akan apa yang sedang dilakukan oleh TUHAN.
13. Kamu akan dibuang sebagai orang tawanan. Para pemimpin akan mati kelaparan dan rakyat jelata akan mati kehausan.
14. Mulut alam maut terbuka lebar-lebar untuk menelan orang bangsawan di Yerusalem bersama-sama rakyat jelata yang ramai-ramai bersuka ria.
15. Tiap-tiap orang akan dipermalukan, dan semua orang yang sombong akan direndahkan.
16. Demikianlah TUHAN Yang Maha Kuasa menunjukkan kebesaran-Nya dengan melakukan apa yang benar, serta menyatakan kesucian-Nya dengan menghakimi umat-Nya.
17. Di tengah-tengah reruntuhan kota, anak domba akan meragut rumput dan anak kambing akan mendapat padang rumput yang hijau.
18. Malanglah kamu! Kamu tidak mahu meninggalkan dosa.
19. Kamu berkata, “Marilah kita lihat apa yang akan dilakukan TUHAN. Biarlah Dia segera melakukan hal yang telah difirmankan-Nya. Biarlah Allah Israel, Allah yang suci melaksanakan rancangan-Nya.”
20. Malanglah kamu! Kamu memutarbalikkan yang baik dan yang jahat, yang gelap dan yang terang, serta yang pahit dan yang manis.
21. Malanglah kamu! Kamu fikir, kamu bijak dan sangat pandai!
22. Malanglah kamu, hai jaguh minum. Kamu berani dan hebat apabila mencampur minuman keras!
23. Tetapi manakala kamu diberikan rasuah sedikit sahaja, kamu bersedia melepaskan orang yang bersalah, serta mencegah orang yang tidak bersalah menerima keadilan.
24. Oleh itu sebagaimana jerami dan rumput kering mudah terbakar, demikian juga akar kamu akan reput dan bunga kamu layu, lalu diterbangkan angin, kerana kamu telah menolak ajaran TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, Allah yang suci.