Yesaya 44:9-21 Alkitab Berita Baik (BM)

9. Semua orang yang membuat berhala tidak berguna, dan dewa-dewa yang dipuja mereka pun tidak berguna. Mereka yang menyembah dewa-dewa itu buta dan tidak tahu apa-apa; oleh itu mereka akan dipermalukan.

10. Sia-sia sahaja membuat patung daripada logam lalu menyembahnya sebagai dewa!

11. Tiap-tiap orang yang menyembah patung itu akan dipermalukan. Orang yang membuat berhala itu manusia belaka. Suruhlah mereka menghadap Aku; pasti mereka akan takut dan dipermalukan.

12. Tukang besi mengambil sekeping logam lalu membentuknya dengan menggunakan api dan pemukul. Dia mengerjakannya dengan sekuat tenaga. Sementara membentuk logam itu, dia merasa lapar, haus, dan penat.

13. Tukang kayu mengukur kayu. Dia melukis bentuk dengan kapur, mengukirnya dengan alat-alatnya, dan menjadikannya patung yang berupa manusia yang kacak, lalu meletakkannya di dalam rumahnya.

14. Barangkali dia menggunakan kayu sedar, kayu oak atau kayu sipres dari hutan. Barangkali dia menanam pokok laurel dan menantikan hujan supaya pokok itu tumbuh.

15. Demikianlah seorang mendapat kayu dan menggunakan sebahagian sebagai bahan api, dan sebahagian lagi untuk membuat berhala. Sebahagian kayu itu digunakannya sebagai kayu api, baik untuk memanaskan diri ataupun untuk membakar roti, dan sebahagian lagi untuk membuat dewa yang disembahnya.

16. Sebahagian kayu itu digunakan untuk menyalakan api. Lalu dia memanggang daging, memakan daging itu, dan berasa puas. Dia juga berdiang sambil berkata, “Alangkah baik dan hangatnya api itu!”

17. Kayu yang selebihnya dijadikan patung berhala, lalu dia sujud dan menyembahnya. Dia berdoa kepada berhala itu dan berkata, “Engkaulah tuhanku; selamatkanlah aku!”

18. Orang seperti itu terlalu bodoh untuk memahami perbuatan mereka itu. Mereka memejamkan mata dan menutup fikiran sehingga tidak mengetahui apa yang benar.

19. Mereka yang membuat patung-patung itu tidak terfikir untuk berkata, “Sebahagian kayu itu aku bakar; apinya aku gunakan untuk membakar roti dan aku memanggang daging, lalu aku memakannya. Kayu yang selebihnya aku jadikan berhala. Lihatlah, yang aku sembah itu hanya sepotong kayu!”

20. Perbuatan itu sama sahaja dengan memakan abu. Fikirannya disesatkan sehingga dia tidak dapat ditolong lagi. Dia tidak mahu mengaku bahawa berhala yang dipegangnya itu bukan tuhan.

21. TUHAN berfirman,“Ingatlah, hai Israel;ingatlah bahawa kamu hamba-Ku.Aku menciptakan kamu untuk menjadi hamba-Ku;Aku tidak akan melupakan kamu.

Yesaya 44