6. dia memberikan jawapan ini: “TUHAN berfirman bahawa tuanku tidak usah takut terhadap orang Asyur yang mengatakan TUHAN tidak dapat menyelamatkan tuanku.
7. TUHAN akan menyebabkan raja Asyur mendengar suatu khabar angin sehingga baginda pulang ke negerinya sendiri. TUHAN akan membiarkan raja Asyur dibunuh di sana.”
8. Pegawai Asyur mendengar bahawa rajanya telah meninggalkan Lakhis dan sedang berperang dengan Libna, sebuah kota yang berdekatan. Oleh itu dia pergi ke sana hendak meminta nasihat.
9. Pada masa itu raja Asyur mendengar berita bahawa tentera Mesir yang dipimpin oleh Raja Tirhaka, raja Etiopia, datang untuk menyerang mereka. Apabila mendengar berita itu, raja Asyur mengirim sepucuk surat kepada Raja Hizkia,
10. di Yehuda. Demikian bunyi surat itu, “Allah yang kamu percayai telah berjanji bahawa kamu tidak akan jatuh ke dalam tangan beta, tetapi jangan ditipu oleh janji itu.
11. Kamu telah mendengar apa yang dilakukan oleh raja-raja Asyur terhadap setiap negeri yang hendak dimusnahkan mereka. Jangan sangka kamu akan terlepas.
12. Nenek moyang beta memusnahkan kota Gozan, Haran, dan Rezef, serta membunuh orang Eden yang tinggal di Telasar. Tidak satu pun daripada dewa mereka dapat menyelamatkan mereka.
13. Di manakah raja-raja kota Hamat, Arpad, Sefarwaim, Hena, dan Iwa sekarang?”
14. Raja Hizkia mengambil surat itu daripada para utusan, lalu membacanya. Kemudian baginda pergi ke Rumah TUHAN, membentangkan surat itu di hadirat TUHAN
15. dan berdoa,
16. “Ya TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, Engkau yang bersemayam di atas kerub, Engkau satu-satunya Allah yang memerintah semua kerajaan di dunia. Engkau mencipta langit dan bumi.
17. Sekarang lihatlah hal yang berlaku kepada kami. Dengarlah segala hinaan yang diucapkan oleh Raja Sanherib terhadap-Mu, ya Allah yang hidup.
18. Kami semua tahu, ya TUHAN, bahawa raja-raja Asyur telah memusnahkan banyak bangsa dan menghancurkan negeri mereka,
19. serta membakar dewa-dewa mereka. Tetapi dewa-dewa itu tidak berkuasa sama sekali kerana hanya patung daripada kayu dan batu yang dibuat oleh manusia.
20. Oleh itu, selamatkanlah kami daripada orang Asyur, ya TUHAN Allah kami, supaya semua bangsa di dunia tahu bahawa Engkau satu-satunya TUHAN.”
21. Kemudian Yesaya mengirim perkhabaran kepada Raja Hizkia bahawa TUHAN, Allah Israel telah mendengar doanya.