16. Dengan demikian kamu akan selamat, kamu akan terlindung seolah-olah kamu di dalam kubu yang kuat. Kamu akan mendapat makanan dan minuman.
17. Sekali lagi kamu akan menyaksikan seorang raja memerintah dengan kemegahan. Negerinya terbentang ke semua jurusan.
18. Dahulu kamu takut terhadap pemungut cukai bangsa asing dan pengintip; sekarang semuanya kenangan belaka.
19. Kamu tidak akan lagi melihat orang asing yang sombong, yang bertutur dalam bahasa yang tidak kamu fahami.
20. Pandanglah kota Sion tempat kita merayakan hari perayaan agama. Pandanglah Yerusalem! Tempat itu akan menjadi kediaman yang selamat seperti khemah yang belum pernah dipindahkan, yang pasaknya belum pernah dicabut dan talinya tidak pernah putus.
21. TUHAN akan memperlihatkan kemuliaan-Nya kepada kita. Kita akan tinggal berhampiran dengan sungai-sungai yang lebar dan anak-anak sungai, tetapi yang tidak dapat dilalui kapal musuh.
22-23. Segala perlengkapan di kapal mereka tidak berguna. Layarnya tidak dapat dibentangkan. Kita akan merampas semua kekayaan tentera musuh, dan jumlahnya begitu banyak sehingga orang lumpuh pun mendapat bahagian. TUHAN sendiri akan menjadi raja kita. Dia akan memerintah dan melindungi kita.
24. Tiada sesiapa yang tinggal di negeri kita akan mengeluh kerana sakit, dan segala dosa akan diampunkan.