Yesaya 30:3-16 Alkitab Berita Baik (BM)

3. Tetapi raja Mesir tidak berdaya menolong mereka, dan perlindungan yang diharapkan daripada Mesir akan menjadi sia-sia.

4. Walaupun duta-duta Yehuda telah tiba di Zoan dan Hanes, kota-kota Mesir,

5. namun penduduk Yehuda akan menyesal kerana bersandar kepada bangsa yang tidak boleh diharap, bangsa yang mengecewakan mereka pada masa mereka memerlukan pertolongan.”

6. Demikianlah perkhabaran Allah tentang binatang di gurun sebelah selatan, “Duta-duta berjalan melalui negeri yang berbahaya, yang didiami oleh singa, ular berbisa, dan naga yang boleh terbang. Mereka memuati keldai dan unta dengan hadiah yang mahal-mahal untuk bangsa yang tidak dapat menolong mereka.

7. Pertolongan yang diberikan oleh Mesir itu sia-sia. Oleh itu Aku menyebut Mesir, ‘Naga yang tidak berbahaya.’ ”

8. Allah menyuruh aku mencatat kejahatan umat ini di dalam sebuah kitab, sebagai peringatan untuk selama-lamanya.

9. Mereka sentiasa memberontak terhadap Allah, sentiasa berdusta, dan enggan menurut ajaran-ajaran TUHAN.

10. Mereka menyuruh para nabi menutup mulut. Mereka berkata, “Jangan katakan hal yang benar kepada kami, tetapi katakan hal yang ingin kami dengar. Biarlah kami berkhayal.

11. Ke tepi! Jangan halangi kami. Kami tidak mahu mendengar tentang Allah Israel, Allah kamu yang suci.”

12. Tetapi inilah firman Allah Israel, Allah yang suci, “Kamu tidak menghirau firman-Ku dan kamu bergantung kepada kekerasan serta penipuan.

13. Kamu bersalah. Kamu seperti tembok tinggi yang retak dari atas sampai ke bawah. Dengan tiba-tiba kamu akan roboh.

14. Kamu akan hancur seperti belanga, dan begitu luluh sehingga tiada bahagian yang dapat digunakan untuk mengambil bara, atau untuk mencedok air dari tempayan.”

15. TUHAN Raja, Allah Israel, Allah yang suci, berfirman kepada umat-Nya, “Kembalilah kepada-Ku dan percayalah kepada-Ku dengan hati yang tenteram. Maka kamu akan Kukuatkan dan Kuselamatkan.” Tetapi kamu tidak mahu.

16. Sebaliknya kamu merancang untuk lari daripada musuh dengan menunggang kuda yang laju. Memang kamu perlu lari! Pada sangka kamu kuda kamu cukup laju, tetapi pengejar-pengejar kamu lebih cepat!

Yesaya 30