Yesaya 30:1-8 Alkitab Berita Baik (BM)

1. TUHAN berfirman, “Malanglah mereka yang memerintah Yehuda, kerana mereka memberontak terhadap Aku. Mereka melaksanakan rancangan-rancangan yang bukan rancangan-Ku, dan mengikat perjanjian yang menentang kehendak-Ku. Maka bertimbun-timbunlah dosa mereka.

2. Mereka minta tolong daripada Mesir tanpa mohon nasihat-Ku. Mereka bernaung di bawah kerajaan Mesir. Oleh itu, mereka mengharapkan perlindungan daripada raja Mesir.

3. Tetapi raja Mesir tidak berdaya menolong mereka, dan perlindungan yang diharapkan daripada Mesir akan menjadi sia-sia.

4. Walaupun duta-duta Yehuda telah tiba di Zoan dan Hanes, kota-kota Mesir,

5. namun penduduk Yehuda akan menyesal kerana bersandar kepada bangsa yang tidak boleh diharap, bangsa yang mengecewakan mereka pada masa mereka memerlukan pertolongan.”

6. Demikianlah perkhabaran Allah tentang binatang di gurun sebelah selatan, “Duta-duta berjalan melalui negeri yang berbahaya, yang didiami oleh singa, ular berbisa, dan naga yang boleh terbang. Mereka memuati keldai dan unta dengan hadiah yang mahal-mahal untuk bangsa yang tidak dapat menolong mereka.

7. Pertolongan yang diberikan oleh Mesir itu sia-sia. Oleh itu Aku menyebut Mesir, ‘Naga yang tidak berbahaya.’ ”

8. Allah menyuruh aku mencatat kejahatan umat ini di dalam sebuah kitab, sebagai peringatan untuk selama-lamanya.

Yesaya 30