Yesaya 28:18-29 Alkitab Berita Baik (BM)

18. Perjanjian kamu dengan maut dan persetujuan kamu dengan dunia orang mati akan dibatalkan. Kamu akan dikalahkan apabila bencana menimpa kamu.

19. Tiap-tiap pagi bencana akan menimpa kamu, dan siang malam kamu harus menanggungnya. Kamu akan gementar ketakutan apabila kamu mengerti akan perkhabaran Allah.

20. Kamu akan menjadi seperti orang yang mencuba tidur di atas katil yang terlalu pendek, dengan selimut yang terlalu kecil untuk menyelubunginya.

21. TUHAN akan bangkit di Gunung Perazim dan di Lembah Gibeon seperti yang dilakukan-Nya dahulu. Dia akan melaksanakan kehendak-Nya walaupun kelihatannya sangat aneh. Dia akan menyelesaikan pekerjaan-Nya yang menakjubkan itu.

22. Jangan anggap ringan amaranku ini! Jika kamu tidak menghiraukannya, lebih susah lagi bagi kamu melepaskan diri. Aku telah mendengar keputusan TUHAN Raja Yang Maha Kuasa untuk memusnahkan seluruh negeri.

23. Dengarlah kata-kataku dan perhatikanlah pesanku.

24. Tiada petani yang terus-menerus membajak tanahnya dan menyediakannya untuk ditanami.

25. Setelah dia membajak tanah itu, dia menabur benih, baik jintan hitam ataupun jintan putih. Dia menanam gandum dan barli berderet-deret; kemudian di tepi ladang dia menanam tanaman lain.

26. Dia tahu melakukan kerjanya, kerana Allah telah mengajar dia.

27. Tidak sekali-kali dia menggunakan pemukul yang berat untuk menumbuk jintan hitam atau jintan putih. Sebaliknya, dia menggunakan pemukul yang ringan dan sesuai.

28. Dia tidak mengirik gandum sampai hancur, dan dia tahu menggunakan pedati untuk mengirik gandum tanpa merosakkannya.

29. Semua kebijaksanaan itu datangnya daripada TUHAN Yang Maha Kuasa. Rancangan-rancangan Allah bijak dan sentiasa berjaya.

Yesaya 28