Yesaya 19:5-18 Alkitab Berita Baik (BM)

5. Air Sungai Nil akan surut dan beransur-ansur mengering.

6. Terusan-terusannya akan berbau busuk apabila airnya semakin habis. Rumput dan gelagah akan menjadi layu,

7. dan segala tanaman di tepi sungai itu menjadi kering lalu diterbangkan angin.

8. Tiap-tiap nelayan yang menangkap ikan di Sungai Nil akan meratap dan menangis; pancing dan jala mereka tidak berguna lagi.

9. Orang yang membuat kain linen akan putus asa;

10. penenun dan buruh upahan akan bersedih dan patah semangat.

11. Pemimpin-pemimpin kota Zoan sungguh dungu! Penasihat-penasihat raja Mesir memberikan nasihat yang bodoh! Alangkah beraninya mereka memberitahu raja bahawa merekalah yang menggantikan orang bijak serta raja purbakala!

12. Hai raja Mesir, di manakah penasihat raja yang bijak-bijak itu? Mungkin mereka dapat meramalkan rancangan TUHAN Yang Maha Kuasa bagi Mesir.

13. Pemimpin Zoan dan Memfis sungguh bodoh! Seharusnya mereka memimpin bangsa itu, tetapi mereka telah menyesatkan bangsa itu.

14. TUHAN sengaja menyebabkan mereka memberikan nasihat yang mengelirukan. Akibatnya, Mesir salah dalam segala hal dan terhuyung-hayang seperti orang mabuk tergelincir di atas muntahnya sendiri.

15. Tiada sesiapa pun di Mesir dapat memberikan pertolongan, baik yang kaya ataupun yang miskin, yang terkemuka ataupun yang tidak.

16. Masanya akan tiba apabila orang Mesir akan menjadi seperti wanita yang penakut. Mereka akan gementar ketakutan apabila melihat TUHAN Yang Maha Kuasa merentangkan tangan-Nya untuk menghukum mereka.

17. Orang Mesir akan menjadi takut terhadap Yehuda tiap-tiap kali mereka diingatkan kepada keputusan TUHAN Yang Maha Kuasa tentang mereka.

18. Pada masa itu kelak, bahasa Ibrani akan digunakan orang di lima buah kota di negeri Mesir. Orang di sana akan mengangkat sumpah demi nama TUHAN Yang Maha Kuasa. Salah sebuah kota itu akan dinamakan “Kota Matahari.”

Yesaya 19