Yesaya 19:10-24 Alkitab Berita Baik (BM)

10. penenun dan buruh upahan akan bersedih dan patah semangat.

11. Pemimpin-pemimpin kota Zoan sungguh dungu! Penasihat-penasihat raja Mesir memberikan nasihat yang bodoh! Alangkah beraninya mereka memberitahu raja bahawa merekalah yang menggantikan orang bijak serta raja purbakala!

12. Hai raja Mesir, di manakah penasihat raja yang bijak-bijak itu? Mungkin mereka dapat meramalkan rancangan TUHAN Yang Maha Kuasa bagi Mesir.

13. Pemimpin Zoan dan Memfis sungguh bodoh! Seharusnya mereka memimpin bangsa itu, tetapi mereka telah menyesatkan bangsa itu.

14. TUHAN sengaja menyebabkan mereka memberikan nasihat yang mengelirukan. Akibatnya, Mesir salah dalam segala hal dan terhuyung-hayang seperti orang mabuk tergelincir di atas muntahnya sendiri.

15. Tiada sesiapa pun di Mesir dapat memberikan pertolongan, baik yang kaya ataupun yang miskin, yang terkemuka ataupun yang tidak.

16. Masanya akan tiba apabila orang Mesir akan menjadi seperti wanita yang penakut. Mereka akan gementar ketakutan apabila melihat TUHAN Yang Maha Kuasa merentangkan tangan-Nya untuk menghukum mereka.

17. Orang Mesir akan menjadi takut terhadap Yehuda tiap-tiap kali mereka diingatkan kepada keputusan TUHAN Yang Maha Kuasa tentang mereka.

18. Pada masa itu kelak, bahasa Ibrani akan digunakan orang di lima buah kota di negeri Mesir. Orang di sana akan mengangkat sumpah demi nama TUHAN Yang Maha Kuasa. Salah sebuah kota itu akan dinamakan “Kota Matahari.”

19. Pada masa itu kelak, di negeri Mesir akan ada sebuah mazbah untuk TUHAN, dan sebuah tugu peringatan bagi-Nya di sempadan negeri.

20. Mazbah dan tugu itu akan menjadi lambang hadirat TUHAN Yang Maha Kuasa di Mesir. Apabila orang di situ ditindas, lalu mereka berseru kepada TUHAN minta pertolongan, Dia akan mengirim seorang untuk menyelamatkan mereka.

21. TUHAN akan menyatakan diri kepada orang Mesir, dan mereka akan mengakui serta menyembah Dia, dan memberikan korban dan persembahan kepada-Nya. Mereka akan bersumpah kepada-Nya dan menepati sumpah itu.

22. TUHAN akan menghukum orang Mesir, tetapi selepas itu Dia akan menyembuhkan mereka. Mereka akan kembali kepada-Nya, dan Dia akan mendengarkan doa mereka serta menyembuhkan mereka.

23. Pada masa itu kelak, akan ada lebuh raya di antara Mesir dan Asyur. Penduduk dari dua buah negeri itu akan berulang-alik di lebuh raya itu dan beribadat bersama-sama.

24. Pada masa itu kelak, Israel akan sama kedudukannya dengan Mesir dan Asyur, dan ketiga-tiga bangsa itu akan menjadi berkat bagi seluruh dunia.

Yesaya 19