1. Inilah perkhabaran TUHAN tentang Mesir.TUHAN datang ke Mesir mengendarai awan yang laju. Berhala-berhala Mesir gementar di hadapan-Nya dan penduduk Mesir hilang semangat.
2. TUHAN berfirman, “Aku akan menyebabkan perang saudara di Mesir: saudara melawan saudara, jiran melawan jiran, kota melawan kota, dan raja melawan raja untuk merebut kuasa.
3. Aku akan menggagalkan rancangan orang Mesir dan mematahkan semangat mereka. Mereka akan minta pertolongan daripada berhala-berhala mereka, minta nasihat dan petunjuk daripada bomoh dan arwah.
4. Tetapi Aku akan menyerahkan orang Mesir kepada seorang raja yang zalim. Mereka akan dijajah olehnya. Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa telah berfirman.”
5. Air Sungai Nil akan surut dan beransur-ansur mengering.
6. Terusan-terusannya akan berbau busuk apabila airnya semakin habis. Rumput dan gelagah akan menjadi layu,
7. dan segala tanaman di tepi sungai itu menjadi kering lalu diterbangkan angin.
8. Tiap-tiap nelayan yang menangkap ikan di Sungai Nil akan meratap dan menangis; pancing dan jala mereka tidak berguna lagi.
9. Orang yang membuat kain linen akan putus asa;
10. penenun dan buruh upahan akan bersedih dan patah semangat.
11. Pemimpin-pemimpin kota Zoan sungguh dungu! Penasihat-penasihat raja Mesir memberikan nasihat yang bodoh! Alangkah beraninya mereka memberitahu raja bahawa merekalah yang menggantikan orang bijak serta raja purbakala!
12. Hai raja Mesir, di manakah penasihat raja yang bijak-bijak itu? Mungkin mereka dapat meramalkan rancangan TUHAN Yang Maha Kuasa bagi Mesir.