Yesaya 14:2-12 Alkitab Berita Baik (BM)

2. Banyak bangsa akan menolong umat Israel pulang ke tanah yang diberikan TUHAN kepada mereka. Di sana bangsa-bangsa akan menjadi abdi kepada Israel. Mereka yang dahulu menawan Israel, akan ditawan oleh Israel. Umat Israel akan memerintah bangsa-bangsa yang pernah menindas mereka.

3. TUHAN akan mengakhiri kesakitan dan penderitaan umat Israel. Dia akan membebaskan mereka daripada kerja berat yang dipaksakan kepada mereka.

4. Apabila TUHAN melakukan hal itu, mereka akan mengejek raja Babilonia begini,“Raja yang kejam sudah jatuh! Dia tidak dapat menindas sesiapa pun lagi!

5. TUHAN telah menamatkan kuasa pemerintah-pemerintah zalim

6. yang menindas bangsa-bangsa dengan marah dan terus-menerus menganiaya mereka.

7. Akhirnya seluruh dunia menikmati keamanan dan ketenteraman, dan semua orang bernyanyi dengan sukacita.

8. Pokok sipres dan pokok sedar di Lebanon pun bersorak-sorak kerana kejatuhan raja itu, dan tiada sesiapa lagi akan menebang pokok-pokok itu sesudah raja itu pergi.

9. Dunia orang mati sedang bersedia untuk menyambut raja Babilonia. Arwah orang yang berkuasa di bumi dahulu terjaga dan arwah raja-raja bangkit dari takhta mereka.

10. Mereka semua berseru kepada raja Babilonia, ‘Sekarang engkau lemah seperti kami! Engkau sama seperti kami!

11. Dahulu engkau dihormati dengan muzik kecapi, tetapi sekarang engkau berada di dunia orang mati. Ulat menjadi tempat tidurmu dan cacing menjadi selimutmu!’

12. Hai raja Babilonia, bintang fajar yang cemerlang, engkau sudah jatuh dari langit! Dahulu engkau mengalahkan bangsa-bangsa, tetapi sekarang engkau dicampakkan ke tanah.

Yesaya 14