Yesaya 14:12-30 Alkitab Berita Baik (BM)

12. Hai raja Babilonia, bintang fajar yang cemerlang, engkau sudah jatuh dari langit! Dahulu engkau mengalahkan bangsa-bangsa, tetapi sekarang engkau dicampakkan ke tanah.

13. Engkau bertekad naik ke langit dan menempatkan takhtamu di atas bintang-bintang yang tertinggi. Engkau berfikir engkau dapat duduk sebagai raja di atas gunung di utara, tempat dewa-dewa berkumpul.

14. Engkau ingin naik ke puncak awan dan menjadi seperti Yang Maha Kuasa.

15. Tetapi sebaliknya engkau telah diturunkan sampai ke bahagian yang paling bawah di dunia orang mati.

16. Mereka yang berada di situ akan memandang dan menatap engkau. Mereka akan bertanya, ‘Inikah dia yang menggentarkan bumi dan menggemparkan kerajaan-kerajaan?

17. Inikah dia yang memusnahkan kota-kota dan mengubah dunia menjadi padang pasir? Inikah dia yang tidak pernah membebaskan orang tawanannya ataupun membenarkan mereka pulang?’

18. Semua bekas raja bangsa-bangsa dimakamkan dengan kemegahan di makam masing-masing,

19. tetapi engkau tidak mempunyai kubur sekalipun. Mayatmu dibuang dan dibiarkan sehingga mereput serta ditimbuni mayat askar-askar yang gugur dalam peperangan. Semuanya dilempar ke dalam lubang yang berbatu. Seperti bangkai yang dipijak-pijak,

20. engkau tidak akan dimakamkan seperti raja-raja lain kerana engkau telah memusnahkan negerimu dan membunuh rakyatmu sendiri. Tiada seorang pun antara anggota keluargamu yang zalim itu akan diselamatkan. Semuanya akan mati.

21. Pembantaian akan segera dimulakan. Anak-anak raja ini akan mati kerana dosa nenek moyang mereka. Tiada seorang pun antara mereka akan memerintah bumi ataupun membina kota-kota.”

22. TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, “Aku akan menyerang dan memusnahkan Babel. Aku tidak akan membiarkan apa-apa pun hidup, baik kanak-kanak atau sesiapa sahaja. Aku, TUHAN telah berfirman.

23. Aku akan mengubah Babel menjadi paya, dan landak akan tinggal di sana. Aku akan memusnahkan Babel. Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa telah berfirman.”

24. TUHAN Yang Maha Kuasa bersumpah, “Perkara yang telah Aku rancangkan pasti berlaku. Perkara yang sudah Aku tentukan pasti terjadi.

25. Aku akan membinasakan orang Asyur di Israel negeri-Ku itu, dan memijak-mijak mereka di atas gunung-gunung-Ku. Aku akan membebaskan umat-Ku daripada penindasan orang Asyur dan daripada beban yang dipikul mereka.

26. Inilah rancangan-Ku untuk dunia; Aku akan menghukum bangsa-bangsa.”

27. TUHAN Yang Maha Kuasa sudah memutuskan untuk berbuat demikian. Dia akan menghukum mereka, dan tiada sesiapa pun dapat menghalang Dia.

28. Inilah perkhabaran yang diisytiharkan pada tahun Raja Ahas mangkat.

29. Hai orang Filistin, walaupun belantan yang memukul kamu telah dipatahkan, jangan kamu bersukacita kerana apabila seekor ular mati, seekor lagi yang lebih dahsyat akan muncul. Seekor naga bersayap akan menetas daripada telur ular.

30. TUHAN akan menggembalakan umat-Nya yang miskin dan membolehkan mereka hidup dengan aman, tetapi Dia akan mendatangkan kebuluran yang dahsyat kepada kamu, hai orang Filistin. Tiada seorang pun antara kamu akan dibiarkan hidup.

Yesaya 14