Yesaya 13:7-17 Alkitab Berita Baik (BM)

7. Tangan setiap orang akan menjadi lemah, dan semangat setiap orang akan hilang.

8. Mereka akan ketakutan dan kesakitan seperti perempuan yang sedang bersalin. Mereka akan saling memandang dengan cemas, dan muka mereka merah kerana malu.

9. Hari TUHAN itu akan tiba, dan pada hari itu TUHAN akan melampiaskan kemurkaan-Nya yang dahsyat. Bumi akan menjadi tandus, dan setiap orang yang berdosa akan dibinasakan.

10. Setiap bintang dan gugusan bintang akan berhenti bersinar. Matahari akan menjadi gelap pada waktu fajar, dan bulan tidak akan bersinar.

11. TUHAN berfirman, “Aku akan menghukum dunia kerana kejahatannya, dan semua orang kerana dosa mereka. Aku akan merendahkan setiap orang yang sombong, dan menghukum setiap orang yang tinggi hati serta kejam.

12. Orang yang terselamat daripada bencana itu kecil sekali bilangannya, lebih sedikit daripada emas tulen.

13. Aku akan menyebabkan langit gementar, dan bumi bergoncang dari tempatnya pada hari itu, apabila Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa menunjukkan kemurkaan-Ku.

14. Orang bangsa asing yang tinggal di Babel akan lari ke negeri masing-masing. Mereka tercerai-cerai seperti rusa yang melarikan diri daripada pemburu, atau seperti kawanan domba yang tidak mempunyai gembala.

15. Sesiapa yang tertangkap akan ditikam sampai mati.

16. Mereka akan menyaksikan bayi mereka dipukul sampai mati, rumah mereka dijarah, dan isteri mereka diperkosa.”

17. TUHAN berfirman, “Aku akan menggerakkan orang Madai supaya menyerang Babel. Mereka tidak mempedulikan perak, dan tidak tergoda oleh emas.

Yesaya 13