1. Inilah perkhabaran Allah tentang Babel yang diterima oleh Yesaya anak Amos.
2. Kibarkanlah panji perang di atas bukit yang gondol! Berserulah kepada para askar. Angkatlah lenganmu sebagai tanda bagi mereka untuk menyerang pintu-pintu gerbang kota yang sombong itu.
3. TUHAN telah memanggil askar-askar pilihan-Nya. Mereka perkasa, percaya diri, dan dibanggakan-Nya. Dia menugaskan mereka untuk menghukum orang yang kena kemurkaan-Nya.
4. Dengarlah keriuhan di atas gunung, seperti banyak orang yang berkumpul. Dengarlah kegemparan bangsa-bangsa dan kerajaan-kerajaan yang sedang berhimpun. TUHAN Yang Maha Kuasa sedang mengatur pasukan perang.
5. Mereka datang dari negeri-negeri jauh, di hujung bumi. Kerana kemurkaan-Nya, TUHAN akan datang untuk memusnahkan seluruh bumi.
6. Merataplah kerana hari TUHAN sudah dekat, masa TUHAN Yang Maha Kuasa mendatangkan kebinasaan.
7. Tangan setiap orang akan menjadi lemah, dan semangat setiap orang akan hilang.