Yeremia 7:21-34 Alkitab Berita Baik (BM)

21. Hai umat-Ku, kamu tahu bahawa ada beberapa korban yang kamu bakar di atas mazbah harus dibakar sampai habis, dan ada juga korban lain yang boleh kamu makan. Tetapi Aku, TUHAN berfirman, lebih baik kamu makan semuanya!

22. Ketika Aku membawa nenek moyang kamu keluar dari Mesir, Aku tidak memberi mereka peraturan tentang korban untuk menyenangkan hati-Ku atau tentang korban-korban lain untuk Aku.

23. Aku hanya memerintahkan mereka untuk mentaati Aku supaya Aku menjadi Allah mereka, dan mereka menjadi umat-Ku. Aku menyuruh mereka hidup menurut perintah-Ku supaya mereka bahagia.

24. Tetapi mereka tidak mahu mendengarkannya dan tidak mahu memperhatikannya. Malah mereka menuruti kehendak hati mereka yang keras dan jahat. Oleh itu mereka menjadi semakin jahat dan tidak menjadi lebih baik.

25. Sejak nenek moyang kamu keluar dari Mesir sampai hari ini, Aku sentiasa mengutus hamba-hamba-Ku, para nabi, kepada kamu.

26. Tetapi tiada sesiapa pun yang mendengarkan atau memperhatikan mereka. Malah kamu menjadi lebih degil dan lebih suka memberontak daripada nenek moyang kamu.

27. Oleh sebab itu, hai Yeremia, sekalipun engkau menyampaikan semua firman ini kepada umat-Ku, mereka tidak akan mendengarkan engkau. Walaupun engkau memanggil mereka, mereka tidak akan menyahut.

28. Engkau akan memberitahu mereka bahawa mereka ialah suatu bangsa yang tidak mahu mentaati Aku, TUHAN Allah mereka, dan mereka tidak mahu belajar daripada hukuman yang telah dijatuhkan kepada mereka. Kesetiaan mereka kepada-Ku sudah lenyap, malah tidak diceritakan lagi.”

29. TUHAN berfirman,“Hai penduduk Yerusalem, merataplah;potonglah dan buanglah rambut kamu.Nyanyikanlah lagu perkabungan di atas puncak perbukitan,kerana Aku, TUHAN sedang murkadan telah menolak kamu semua.

30. Penduduk Yehuda telah melakukan kejahatan. Mereka telah meletakkan berhala-berhala mereka yang Kubenci itu di dalam Rumah TUHAN, sehingga menajiskannya.

31. Mereka telah mendirikan sebuah mazbah yang bernama Tofet di Lembah Hinom. Di atas mazbah itu mereka membakar anak-anak mereka, lelaki dan perempuan, sebagai korban. Padahal Aku tidak pernah menyuruh mereka melakukan perkara itu, bahkan tidak pernah hal seperti itu timbul di dalam fikiran-Ku.

32. Oleh itu, akan tiba masanya tempat itu tidak lagi disebut Tofet atau Lembah Hinom, melainkan Lembah Pembantaian. Mereka akan menguburkan mayat di situ kerana tiada lagi tempat lain.

33. Mayat akan menjadi makanan burung dan binatang buas dan tiada lagi orang yang menghalaunya.

34. Negeri ini akan menjadi tandus. Suara kegembiraan dan kesukaan, serta keriangan pesta perkahwinan di kota-kota Yehuda dan di jalan-jalan Yerusalem akan Kuhentikan.

Yeremia 7