Yeremia 6:12-30 Alkitab Berita Baik (BM)

12. Rumah mereka akan diberikan kepada orang lain, begitu juga ladang dan isteri mereka. Aku akan menghukum penduduk negeri ini.

13. Semua orang yang besar mahupun yang kecil, mencari keuntungan dengan cara yang tidak jujur. Bahkan nabi dan imam pun menipu orang.

14. Mereka menganggap luka-luka umat-Ku sebagai luka kecil sahaja. Mereka berkata, ‘Semuanya baik dan aman.’ Tetapi sebenarnya sama sekali tidak baik dan tidak aman.

15. Adakah mereka malu kerana melakukan semua perbuatan yang keji itu? Tidak, mereka sama sekali tidak tahu malu; mereka sudah tebal muka. Oleh sebab itu mereka akan jatuh seperti orang lain; riwayat mereka akan tamat apabila Aku menghukum mereka. Aku, TUHAN telah berfirman.”

16. TUHAN berfirman kepada umat-Nya, “Berdirilah di persimpangan jalan dan perhatikanlah baik-baik! Tanyakanlah jalan-jalan purba, dan yang manakah jalan terbaik. Kemudian ikutilah jalan itu, maka kamu akan hidup dengan tenteram.”Tetapi mereka berkata, “Tidak, kami tidak mahu mengikuti jalan itu!”

17. Kemudian TUHAN melantik penjaga-penjaga untuk mendengarkan bunyi isyarat trompet. Tetapi mereka berkata, “Kami tidak mahu mendengarkan.”

18. Oleh itu TUHAN berfirman, “Dengarlah hai bangsa-bangsa! Kamu harus tahu apa yang akan berlaku terhadap umat-Ku.

19. Dengarlah, hai bumi! Umat-Ku tidak mahu menerima ajaran-Ku dan tidak taat kepada-Ku. Oleh itu, Aku mendatangkan malapetaka kepada mereka sebagai hukuman terhadap segala rancangan mereka.

20. Apakah gunanya kemenyan dari Syeba yang dibawa mereka kepada-Ku, atau rempah-rempah dari negeri jauh? Aku tidak mahu menerima persembahan mereka. Aku tidak suka akan korban-korban mereka.

21. Oleh itu, Aku akan menyebabkan mereka tersandung dan jatuh. Bapa dan anak, kawan dan jiran akan mati.”

22. TUHAN berfirman, “Orang akan datang dari suatu negeri di utara; suatu bangsa yang kuat di negeri jauh sedang bersiap untuk berperang.

23. Mereka bersenjatakan panah dan pedang; mereka bengis dan tidak kenal ampun. Bunyi derap kuda mereka yang sedang dipacu bagaikan bunyi laut yang bergelora. Mereka sudah bersiap untuk menyerang Yerusalem.”

24. Penduduk Yerusalem berkata, “Kami telah mendengar berita itu dan kami patah semangat. Kami dicekam perasaan takut dan kesakitan seperti wanita yang bersalin.

25. Kami tidak berani berjalan di jalan raya atau pergi ke ladang, kerana di mana-mana musuh yang bersenjata menimbulkan ketakutan.”

26. TUHAN berfirman kepada umat-Nya, “Pakailah kain guni dan berguling-gulinglah dalam abu. Berkabunglah dan merataplah dengan pedih seperti orang meratapi kematian anak lelaki yang tunggal, kerana pembinasa akan menyerang kamu dengan tiba-tiba.”

27. Kemudian TUHAN berfirman kepada Yeremia, “Ujilah umat-Ku, seperti engkau menguji logam. Selidikilah kelakuan mereka!

28. Mereka semua pemberontak yang keras kepala, sekeras gangsa dan besi. Mereka berkelakuan buruk dan berjalan ke mana-mana untuk menyebarkan berita yang menjahatkan orang lain.

29. Peleburan sudah sangat panas, tetapi kotoran logam tidak juga menjadi cair dan hilang. Sia-sia sahaja umat-Ku terus-menerus diuji untuk dimurnikan, kerana mereka yang jahat tidak disingkirkan.

30. Mereka akan dinamakan tahi leburan yang tidak berguna, kerana Aku, TUHAN, telah membuang mereka.”

Yeremia 6