Yeremia 6:1-7 Alkitab Berita Baik (BM)

1. Hai orang Benyamin, larilah untuk menyelamatkan diri! Tinggalkanlah Yerusalem! Bunyikan trompet di Tekoa dan nyalakan api isyarat di Bet-Kerem! Bencana dan malapetaka hampir tiba dari utara.

2. Kota Sion indah sekali, tetapi kota itu akan dimusnahkan;

3. raja-raja dengan tentera mereka akan berkhemah di sana. Mereka akan memasang perkhemahan di sekeliling kota itu, masing-masing di tempat yang disukai.

4. Mereka akan berkata, “Bersiaplah untuk menyerang Yerusalem! Bersiaplah! Kita akan menyerbunya pada waktu tengah hari!” Tetapi kemudian mereka akan berkata, “Sudah terlambat! Hari sudah mulai gelap, bayang-bayang sudah mula memanjang.

5. Kita akan menyerbu pada waktu malam, dan menghancurkan kubu-kubu kota itu.”

6. TUHAN Yang Maha Kuasa telah memerintah raja-raja itu untuk menebang pokok dan membuat tambak untuk mengepung Yerusalem. TUHAN berfirman, “Aku akan menghukum kota ini kerana banyak sekali penindasan berlaku di situ.

7. Sebagaimana mata air tetap mengeluarkan air, begitu pula kota itu tetap menghasilkan kejahatan. Aku mendengar tentang keganasan dan kemusnahan di kota itu; Aku nampak penyakit dan luka di situ.

Yeremia 6