Yeremia 50:4-15 Alkitab Berita Baik (BM)

4. TUHAN berfirman, “Apabila masa itu tiba, penduduk Israel dan Yehuda akan datang bersama-sama sambil menangis dan mencari Aku, Allah mereka.

5. Mereka akan menanyakan jalan ke Sion, lalu menuju ke arah itu. Mereka akan membuat satu perjanjian kekal dengan Aku, dan tidak akan memungkirinya sampai selama-lamanya.

6. Umat-Ku seperti kawanan domba yang telah dibiarkan sesat di gunung-gunung oleh gembala-gembala mereka. Mereka seperti domba yang mengembara dari gunung ke gunung, dan sudah lupa akan tempat tinggal mereka.

7. Mereka diserang oleh sesiapa sahaja yang nampak mereka. Musuh mereka berkata, ‘Umat ini telah berdosa terhadap TUHAN. Oleh itu apa yang kita lakukan tidak salah. Nenek moyang mereka percaya kepada TUHAN, dan seharusnya mereka pun tetap setia kepada-Nya.’

8. Hai umat Israel, larilah dari Babilonia! Tinggalkanlah negeri itu! Kamu seharusnya yang terdahulu meninggalkan negeri itu!

9. Aku akan membangkitkan beberapa bangsa yang kuat dari utara, dan menyebabkan mereka menyerang Babilonia. Mereka akan mengatur barisan untuk bertempur dengan Babilonia, lalu mengalahkannya. Mereka pemburu yang mahir. Apabila mereka memanah, panah mereka pasti mengenai sasaran.

10. Babilonia akan dijarah, dan orang yang menjarahnya akan mengambil apa sahaja yang dikehendaki mereka. Aku, TUHAN, telah berfirman.”

11. TUHAN berfirman, “Hai penduduk Babilonia, kamu telah menjarah umat-Ku. Kamu gembira dan bersukacita, melompat-lompat seperti lembu yang mengirik gandum atau seperti kuda yang meringkik,

12. tetapi kota kamu sendiri yang besar itu akan dihina dan dipermalukan. Babilonia akan menjadi kerajaan yang paling tidak penting antara semua kerajaan. Babilonia akan menjadi gurun yang kering dan kersang.

13. Oleh sebab kemurkaan-Ku, tiada sesiapa pun akan tinggal di Babel. Babel akan menjadi runtuhan, dan semua orang yang lalu di situ akan terkejut dan hairan.

14. Hai pasukan pemanah, aturlah barisan dan kepunglah Babel. Bidikkanlah segala panah kamu ke Babel, kerana Babel telah berdosa terhadap Aku, TUHAN.

15. Pekikkanlah tempik peperangan di sekeliling kota itu! Sekarang Babel telah menyerah. Tembok pertahanannya telah ditembusi dan dirobohkan. Aku sedang membalas dendam-Ku terhadap orang Babilonia. Oleh itu balaslah dendam kamu, dan perlakukanlah mereka sebagaimana mereka telah memperlakukan orang lain.

Yeremia 50