Yeremia 50:11-25 Alkitab Berita Baik (BM)

11. TUHAN berfirman, “Hai penduduk Babilonia, kamu telah menjarah umat-Ku. Kamu gembira dan bersukacita, melompat-lompat seperti lembu yang mengirik gandum atau seperti kuda yang meringkik,

12. tetapi kota kamu sendiri yang besar itu akan dihina dan dipermalukan. Babilonia akan menjadi kerajaan yang paling tidak penting antara semua kerajaan. Babilonia akan menjadi gurun yang kering dan kersang.

13. Oleh sebab kemurkaan-Ku, tiada sesiapa pun akan tinggal di Babel. Babel akan menjadi runtuhan, dan semua orang yang lalu di situ akan terkejut dan hairan.

14. Hai pasukan pemanah, aturlah barisan dan kepunglah Babel. Bidikkanlah segala panah kamu ke Babel, kerana Babel telah berdosa terhadap Aku, TUHAN.

15. Pekikkanlah tempik peperangan di sekeliling kota itu! Sekarang Babel telah menyerah. Tembok pertahanannya telah ditembusi dan dirobohkan. Aku sedang membalas dendam-Ku terhadap orang Babilonia. Oleh itu balaslah dendam kamu, dan perlakukanlah mereka sebagaimana mereka telah memperlakukan orang lain.

16. Jangan biar orang bercucuk tanam atau menuai di negeri itu. Semua orang bangsa asing yang tinggal di situ akan takut terhadap tentera yang menyerang mereka, lalu pulang ke negeri masing-masing.”

17. TUHAN berfirman, “Umat Israel seperti kawanan domba yang dikejar dan dicerai-ceraikan oleh singa. Mula-mula mereka diserang oleh raja Asyur, kemudian Raja Nebukadnezar dari Babilonia, mengerumit tulang-tulang mereka.

18. Oleh sebab itu, Aku TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, akan menghukum Raja Nebukadnezar dan negerinya, sebagaimana Aku telah menghukum raja Asyur.

19. Aku akan mengembalikan umat Israel ke tanah air mereka. Mereka akan makan daripada hasil tanaman yang tumbuh di Gunung Karmel dan di daerah Basan. Mereka akan makan sebanyak yang diingini mereka daripada hasil tanaman yang tumbuh di wilayah Efraim dan Gilead.

20. Pada masa itu, dosa tidak akan terdapat lagi di Israel, dan kejahatan pun tidak akan ada lagi di Yehuda, kerana Aku akan mengampuni orang yang telah Aku selamatkan. Aku, TUHAN, telah berfirman.”

21. TUHAN berfirman kepada musuh Babilonia, “Seranglah penduduk Merataim dan Pekod. Bunuhlah dan binasakanlah mereka. Laksanakanlah segala perintah-Ku. Aku, TUHAN, telah berfirman.

22. Bunyi pertempuran kedengaran di negeri itu, dan kehancuran besar terjadi.

23. Dahulu Babilonia menukul seluruh dunia sehingga hancur, tetapi sekarang penukulnya sudah remuk-redam. Semua bangsa terkejut melihat apa yang telah berlaku terhadap negeri itu.

24. Hai Babilonia, engkau melawan Aku dan engkau telah masuk ke dalam perangkap yang Aku pasang untukmu, walaupun engkau tidak menyedarinya.

25. Aku telah membuka tempat penyimpanan senjata-Ku. Dalam kemurkaan-Ku, Aku telah mengeluarkan senjata-Ku, kerana Aku, TUHAN Raja Yang Maha Kuasa, harus menjalankan tugas di Babilonia.

Yeremia 50