10. Tetapi Aku telah mengambil segala keturunan Esau. Aku membongkar tempat-tempat persembunyian mereka, sehingga mereka tidak dapat bersembunyi lagi. Semua penduduk Edom sudah binasa; tiada seorang pun tertinggal.
11. Serahkanlah anak-anak piatu kamu kepada-Ku dan Aku akan memelihara mereka. Balu-balu kamu dapat bersandar kepada-Ku.
12. Orang yang tidak patut dihukum pun kena hukuman. Adakah kamu menyangka bahawa kamu terlepas daripada hukuman? Kamu pasti dihukum!
13. Aku sendiri telah bersumpah bahawa kota Bozra akan menjadi gurun yang mengerikan. Orang akan mentertawakannya dan menggunakan namanya sebagai kutuk. Pekan-pekan di sekitarnya pun akan menjadi runtuhan selama-lamanya. Aku, TUHAN, telah berfirman.”
14. Aku, Yeremia berkata, “Hai Edom, aku telah menerima perkhabaran daripada TUHAN. Dia telah mengutus seorang utusan kepada bangsa-bangsa untuk memberitahu mereka supaya mengumpulkan tentera mereka dan bersiap untuk menyerang kamu.
15. TUHAN akan melemahkan kamu, dan tiada sesiapa pun akan menghormati kamu.
16. Kamu tertipu oleh keangkuhanmu. Tiada sesiapa pun takut akan kamu seperti sangkamu. Kamu tinggal di celah-celah bukit batu, jauh di atas gunung. Tetapi sekalipun kamu membina rumah di tempat yang tinggi sekali, setinggi tempat sarang burung helang, TUHAN akan merendahkan kamu. Demikianlah firman TUHAN.”
17. TUHAN berfirman, “Kemusnahan Edom akan sangat mengerikan sehingga tiap-tiap orang yang lalu di situ akan terkejut dan ketakutan.
18. Sebagaimana Sodom dan Gomora dimusnahkan bersama dengan pekan-pekan di sekitar, begitu juga Edom akan dimusnahkan. Tiada seorang pun akan tinggal di Edom lagi. Aku, TUHAN, telah berfirman.
19. Sebagaimana singa keluar dari hutan tebal di tepi Sungai Yordan lalu naik ke padang rumput yang hijau, demikianlah Aku akan datang dan menyebabkan orang Edom lari dengan tiba-tiba dari negeri mereka. Selepas itu pemimpin yang Aku pilih akan memerintah negeri itu. Siapakah yang setara dengan Aku? Siapakah yang berani mencabar Aku? Penguasa manakah yang sanggup menentang Aku?
20. Oleh itu dengarlah rancangan-Ku untuk menentang penduduk Edom, dan rancangan-Ku bagi penduduk kota Teman. Anak-anak mereka pun akan diseret pergi, dan semua orang akan ketakutan.
21. Apabila Edom jatuh, bunyinya begitu kuat sehingga seluruh bumi goncang, dan teriakan penduduknya akan terdengar sampai ke Teluk Akaba.
22. Musuh akan menyerang Bozra seperti burung helang yang menyambar dengan sayap terkembang. Pada hari itu askar-askar Edom akan ketakutan seperti wanita yang sedang bersalin.”
23. Demikianlah firman TUHAN tentang kota Damsyik, “Penduduk kota Hamat dan Arpad khuatir serta gelisah kerana mereka telah mendengar berita buruk. Hati mereka risau dan kegelisahan melanda mereka seperti gelombang laut.
24. Penduduk Damsyik tidak berdaya dan telah lari ketakutan. Mereka sakit dan menderita seperti wanita yang sedang bersalin.
25. Kota termasyhur yang biasanya penuh kegembiraan, kini lengang dan tidak berpenghuni.
26. Pada hari itu kaum pemudanya akan dibunuh di jalan raya, dan semua askarnya dibinasakan.
27. Aku akan membakar tembok Damsyik dan menghanguskan istana-istana Raja Benhadad. Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, telah berfirman.”
28. Demikianlah firman TUHAN tentang suku Kedar dan daerah-daerah yang diperintah oleh Hazor, iaitu daerah-daerah yang telah dikalahkan oleh Raja Nebukadnezar dari Babilonia, “Seranglah suku Kedar, dan binasakanlah orang dari bahagian timur!
29. Rampaslah semua khemah dan ternakan mereka, tirai khemah dan apa sahaja yang ada di dalam khemah. Rampaslah unta mereka dan beritahulah mereka, ‘Kegentaran mengelilingi kamu!’