32. Aku akan lebih menangisi penduduk Sibma daripada penduduk Yaezer. Hai kota Sibma, engkau seperti pokok anggur yang carangnya merambat sampai ke seberang Laut Mati, sejauh kota Yaezer. Tetapi sekarang buah-buah musim panasmu dan buah anggurmu telah dirosakkan.
33. Kegembiraan dan sukacita telah lenyap dari tanah Moab yang subur. Aku telah menghentikan aliran wain dari pemerah wain; tiada lagi orang yang membuat wain dan bersorak gembira.
34. Penduduk kota Hesybon dan Eleale menangis sehingga tangisan mereka kedengaran di Yahas, dan juga terdengar oleh orang dari Zoar sampai ke Horanaim dan Eglat-Selisia. Sungai Nimrim pun sudah kering.
35. Aku akan menghentikan penduduk Moab daripada membakar korban di tempat-tempat pemujaan mereka, dan menghentikan mereka mempersembahkan korban kepada dewa-dewa mereka. Aku, TUHAN, telah berfirman.
36. Semua harta milik penduduk Kir-Heres dan Moab sudah lenyap. Aku sedih melihat keadaan mereka; Aku seperti orang yang memainkan lagu perkabungan dengan sebatang suling.
37. Mereka semua sudah mencukur rambut dan janggut, melukai tangan, dan memakai kain guni sebagai tanda bersedih.
38. Di atas semua bumbung rumah dan di semua padang di Moab tiada terdengar apa-apa pun kecuali ratapan, kerana Aku telah menghancurkan Moab seperti tempayan yang tidak disukai orang.
39. Moab telah dihancurkan! Menangislah! Moab telah dipermalukan! Moab telah runtuh. Semua negara jiran mentertawakan Moab. Aku, TUHAN, telah berfirman.”
40. TUHAN telah berjanji bahawa suatu bangsa akan menyambar Moab seperti seekor helang yang menyambar dengan sayap terkembang.
41. Kota-kota dan kubu-kubunya akan direbut. Pada hari itu askar-askar Moab akan ketakutan seperti perempuan yang sedang bersalin.
42. Moab akan musnah dan tidak lagi merupakan satu bangsa, kerana Moab telah menyombongkan diri terhadap Aku.
43. Kegentaran, lubang, dan perangkap sedang menunggu penduduk Moab. TUHAN telah berfirman.
44. Orang yang cuba melepaskan diri daripada kegentaran itu akan jatuh ke dalam lubang, dan orang yang cuba keluar dari lubang itu akan masuk ke dalam perangkap, kerana TUHAN telah menentukan waktu kehancuran bagi Moab.
45. Orang pelarian yang tidak berdaya cuba berlindung di Hesybon, kota yang pernah diperintah oleh Raja Sihon, tetapi sekarang kota itu sedang terbakar. Api telah menghanguskan kawasan di sempadan dan di kawasan pergunungan Moab, negeri orang yang suka berperang.
46. Kasihanilah orang Moab! Bangsa yang menyembah Dewa Kamos telah musnah; anak lelaki dan anak perempuan mereka telah ditangkap sebagai orang tawanan.