Yeremia 48:20-33 Alkitab Berita Baik (BM)

20. Mereka akan menjawab, ‘Moab sudah jatuh!Moab telah dipermalukan; tangisilah Moab.Umumkanlah di sepanjang Sungai Arnonbahawa Moab sudah musnah!’

21. Hukuman telah dijatuhkan atas kota-kota di kawasan dataran tinggi: di Holon, Yahas, Mefaat,

22. Dibon, Nebo, Bet-Diblataim,

23. Kiryataim, Bet-Gamul, Bet-Meon,

24. Keriot, dan Bozra. Semua kota negeri Moab, jauh dan dekat, telah dihukum.

25. Kekuatan Moab telah dihancurkan; kuasanya telah dipatahkan. Aku, TUHAN, telah berfirman.”

26. TUHAN berfirman, “Moab telah menyombongkan diri terhadap Aku, kerana itu buatlah dia mabuk. Moab akan berguling-guling dalam muntahnya sendiri, lalu ditertawakan orang.

27. Hai Moab, adakah engkau ingat bahawa dahulu engkau mentertawakan umat Israel dan memfitnah mereka seolah-olah mereka tertangkap basah bersama-sama pencuri?

28. Hai penduduk Moab, tinggalkanlah kota-kota kamu! Pergilah ke bukit batu dan tinggallah di sana seperti burung merpati yang membuat sarang di tebing jurang.

29. Moab sangat sombong! Aku telah mendengar betapa sombong, congkak, dan angkuh penduduk Moab itu! Mereka terlalu memikirkan diri sendiri.

30. Aku, TUHAN tahu akan kesombongan mereka! Cakap besar mereka kosong belaka, dan perbuatan mereka tidak berguna!

31. Itulah sebabnya Aku akan menangisi semua penduduk negeri Moab dan Kir-Heres.

32. Aku akan lebih menangisi penduduk Sibma daripada penduduk Yaezer. Hai kota Sibma, engkau seperti pokok anggur yang carangnya merambat sampai ke seberang Laut Mati, sejauh kota Yaezer. Tetapi sekarang buah-buah musim panasmu dan buah anggurmu telah dirosakkan.

33. Kegembiraan dan sukacita telah lenyap dari tanah Moab yang subur. Aku telah menghentikan aliran wain dari pemerah wain; tiada lagi orang yang membuat wain dan bersorak gembira.

Yeremia 48