Yeremia 44:24-25-30 Alkitab Berita Baik (BM)

3. Kemusnahan itu berlaku kerana penduduknya telah berbuat jahat dan membangkitkan kemurkaan-Ku. Mereka mempersembahkan korban kepada dewa-dewa, dan memuja dewa-dewa yang tidak pernah dipuja oleh mereka, kamu, atau nenek moyang kamu.

4. Aku terus-menerus mengutus hamba-Ku, para nabi kepada kamu; mereka melarang kamu melakukan kejahatan yang Aku benci.

5. Tetapi kamu tidak mahu mendengarkan atau memperhatikannya. Kamu tidak mahu meninggalkan perbuatan jahat; kamu tetap mempersembahkan korban kepada dewa-dewa.

6. Itulah sebabnya kemurkaan dan berang-Ku menimpa kota-kota Yehuda dan jalan-jalan di Yerusalem. Aku membakar semuanya sehingga menjadi runtuhan dan tempat yang mengerikan sampai sekarang.

7. Oleh itu sekarang Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, bertanya sebabnya kamu melakukan perkara yang jahat itu terhadap diri kamu sendiri. Adakah kamu hendak membinasakan kaum lelaki, wanita, anak-anak, dan bayi, sehingga tiada seorang pun daripada bangsa kamu yang tinggal?

8. Mengapakah kamu membangkitkan kemurkaan-Ku dengan menyembah berhala-berhala dan mempersembahkan korban kepada dewa-dewa di Mesir, tempat tinggal kamu sekarang? Adakah kamu melakukannya untuk membinasakan diri kamu sendiri, sehingga semua bangsa di bumi ini menghina kamu dan menggunakan nama kamu sebagai kutuk?

9. Adakah kamu lupa akan semua kejahatan yang dilakukan oleh nenek moyang kamu, oleh raja-raja Yehuda dan permaisuri mereka, dan juga oleh kamu sendiri dan isteri kamu, di kota-kota Yehuda dan di jalan-jalan Yerusalem?

24-25. Aku memberitahu mereka semua, terutama kaum wanita, firman TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, kepada orang Yehuda yang tinggal di Mesir, “Kamu dan isteri-isteri kamu telah bersumpah kepada Ratu Syurga, bahawa kamu akan mempersembahkan korban dan wain kepadanya, dan kamu sudah pun menepati janji kamu. Baiklah, tepatilah janji kamu itu! Tunaikanlah nazar kamu itu!

26. Tetapi sekarang dengarlah apa yang Aku firmankan kepada kamu, hai semua orang Israel yang tinggal di Mesir: Aku, TUHAN bersumpah demi nama-Ku yang agung bahawa Aku tidak sekali-kali akan membenarkan kamu menggunakan nama-Ku apabila kamu bersumpah. Kamu tidak boleh berkata, ‘Aku bersumpah demi TUHAN Raja yang hidup!’

27. Aku akan memastikan agar kamu tidak berjaya; kamu pasti dibinasakan. Kamu semua akan mati, sama ada dalam peperangan atau kerana wabak, sehingga tiada seorang pun antara kamu terselamat.

28. Tetapi sebilangan kecil antara kamu yang tinggal di Mesir akan terselamat dan pulang ke Yehuda. Barulah mereka akan tahu perkataan siapa yang berlaku, firman-Ku atau perkataan mereka.

29. Aku, TUHAN, akan membuktikan bahawa Aku akan menghukum kamu di negeri ini, dan bahawa janji-Ku untuk membinasakan kamu itu akan ditepati.

30. Aku akan menyerahkan Raja Hofra dari Mesir kepada musuhnya yang hendak membunuh baginda, sebagaimana Aku telah menyerahkan Raja Zedekia dari Yehuda kepada Raja Nebukadnezar dari Babilonia, musuh yang hendak membunuh Raja Zedekia.”

Yeremia 44