7. Sepuluh hari kemudian, TUHAN berfirman kepadaku.
8. Oleh itu aku memanggil Yohanan, semua pemimpin askar, dan semua orang lain yang datang bersama-samanya.
9. Aku berkata kepada mereka, “Kamu menyuruh aku menyampaikan permintaan kamu semua kepada TUHAN, Allah Israel. Sekarang inilah firman-Nya,
10. ‘Jika kamu mahu tetap tinggal di negeri ini, Aku akan membangun kamu dan tidak memusnahkan kamu. Aku akan menegakkan kamu dan tidak meruntuhkan kamu. Kemusnahan yang Kutimpakan kepada kamu menyebabkan Aku sangat sedih.
11. Jangan takut lagi akan raja Babilonia. Aku menyertai kamu, dan Aku akan melepaskan kamu daripada kuasanya.