Yeremia 42:11-22 Alkitab Berita Baik (BM)

11. Jangan takut lagi akan raja Babilonia. Aku menyertai kamu, dan Aku akan melepaskan kamu daripada kuasanya.

12. Oleh sebab Aku berbelas kasihan, Aku akan menyebabkan dia mengasihani kamu dan membenarkan kamu pulang. Aku, TUHAN, telah berfirman.’

13-15. Tetapi kamu yang masih tinggal di Yehuda mesti taat kepada TUHAN, Allah kamu dan rela tinggal di negeri ini. Kamu tidak boleh berkata, ‘Kami mahu pergi ke Mesir dan tinggal di sana, supaya kami tidak lagi mengalami peperangan, tidak mendengar tiupan trompet yang memanggil untuk berperang dan tidak menderita kebuluran.’ Jika kamu berkata demikian, maka inilah firman TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, ‘Jika kamu nekad pergi ke Mesir dan tinggal di sana,

16. peperangan dan kebuluran yang kamu takuti itu akan mengejar kamu sampai ke Mesir, dan kamu akan mati di sana.

17. Semua orang yang nekad pergi ke Mesir dan tinggal di sana akan mati dalam peperangan, atau kerana kebuluran, atau wabak. Tiada seorang pun akan hidup atau terlepas daripada bencana yang akan Aku datangkan kepada mereka.’

18. TUHAN, Allah Israel berfirman, ‘Sebagaimana kemurkaan dan berang-Ku telah menimpa penduduk Yerusalem, demikian juga berang-Ku akan menimpa kamu jika kamu pergi ke Mesir. Orang akan ngeri melihat kamu; kamu akan dihina, dan nama kamu akan digunakan sebagai kutuk. Kamu tidak akan melihat negeri ini lagi.’ ”

19. Kemudian aku berkata lagi, “TUHAN telah memberitahu kamu semua yang masih tinggal di Yehuda supaya tidak pergi ke Mesir. Oleh itu aku memperingatkan kamu sekarang,

20. bahawa kamu semua sedang melakukan kesalahan besar. Kamu minta aku berdoa kepada TUHAN, Allah kita, dan kamu berjanji untuk mentaati setiap perintah-Nya.

21. Aku telah menyampaikan firman-Nya kepada kamu semua, tetapi kamu membantah setiap perintah yang aku sampaikan.

22. Oleh itu ingatlah: kamu akan mati dalam peperangan, atau kerana kelaparan, atau wabak di negeri yang ingin kamu tinggal.”

Yeremia 42