Yeremia 36:19-30 Alkitab Berita Baik (BM)

19. Kemudian mereka berkata kepadanya, “Kamu dan Yeremia mesti bersembunyi. Jangan biar sesiapa pun mengetahui tempat persembunyian kamu.”

20. Para pegawai menyimpan naskhah gulungan itu di dalam bilik Elisama, setiausaha itu, lalu pergi melaporkan semua hal itu kepada raja.

21. Selepas itu raja menyuruh Yehudi mengambil naskhah itu dari bilik Elisama dan membacakannya di hadapan raja serta semua pegawai yang berdiri di sekeliling raja.

22. Masa itu musim sejuk, dan raja sedang duduk di depan perapian di istana musim sejuk.

23. Setelah Yehudi membaca tiga atau empat lajur, raja memotong bahagian itu dengan sebilah pisau kecil dan membuangnya ke dalam api. Raja melakukan hal itu terus-menerus sampai seluruh naskhah gulungan itu dibakar.

24. Tetapi baik raja mahupun pegawai-pegawainya yang mendengar semua itu tidak takut atau menunjukkan penyesalan.

25. Walaupun Elnatan, Delaya, dan Gemarya memohon kepada raja agar naskhah itu tidak dibakar, raja tidak mempedulikan mereka.

26. Kemudian raja memerintah Putera Yerahmeel, Seraya anak Azriel, dan Selemya anak Abdeel untuk menangkap aku serta Barukh, setiausahaku, tetapi TUHAN menyembunyikan kami daripada mereka.

27. Selepas Raja Yoyakim membakar naskhah gulungan yang aku imlakkan kepada Barukh, TUHAN menyuruh aku

28. mengambil sebuah naskhah gulungan yang lain dan menuliskan semula segala isi naskhah gulungan yang pertama itu.

29. TUHAN menyuruh aku berkata kepada raja, “Engkau sudah membakar naskhah gulungan itu, dan engkau bertanya mengapa Yeremia menulis bahawa raja Babilonia akan datang, lalu memusnahkan negeri ini dan membunuh penduduknya serta semua binatang di situ.

30. Oleh itu, Aku, TUHAN, berfirman kepadamu, hai Raja Yoyakim, bahawa tiada seorang pun daripada keturunanmu akan memerintah kerajaan Daud. Mayatmu akan dibuang ke luar sehingga terjemur pada waktu siang dan terkena embun pada waktu malam.

Yeremia 36