Yeremia 34:4-16 Alkitab Berita Baik (BM)

4. Hai Zedekia, dengarlah firman-Ku tentang engkau. Engkau tidak akan dibunuh dalam pertempuran.

5. Engkau akan meninggal dengan tenteram, dan sebagaimana orang membakar kemenyan ketika mereka mengebumikan nenek moyangmu, iaitu raja-raja sebelum zamanmu, demikian juga mereka akan membakar kemenyan bagimu. Mereka akan berkabung bagimu dan berkata, ‘Raja kita sudah mangkat!’ Aku, TUHAN, telah berfirman.”

6. Kemudian aku menyampaikan perkhabaran itu kepada Raja Zedekia di Yerusalem,

7. pada masa tentera raja Babilonia menyerang kota Yerusalem. Tentera Babilonia juga menyerang Lakhis dan Aseka, dua buah kota berkubu yang masih bertahan di Yehuda.

8. Raja Zedekia dan penduduk Yerusalem membuat perjanjian untuk membebaskan

9. orang Ibrani yang menjadi hamba mereka, baik lelaki mahupun perempuan, supaya tiada seorang pun daripada bangsa Israel yang memperhamba sesama bangsanya.

10. Semua rakyat dan pemimpin mereka bersetuju untuk membebaskan hamba mereka, dan tidak sekali-kali akan memperhamba mereka lagi. Demikianlah yang dilakukan oleh mereka.

11. Tetapi tidak lama kemudian, mereka mengubah fikiran. Mereka mengambil kembali hamba-hamba yang telah dibebaskan itu dan memaksa mereka menjadi hamba semula.

12. Lalu TUHAN,

13. Allah Israel, menyuruh aku berkata kepada umat itu, “Aku telah membuat perjanjian dengan nenek moyang kamu ketika Aku membawa mereka keluar dari Mesir dan membebaskan mereka daripada perhambaan. Aku memberitahu mereka bahawa

14. tiap-tiap tujuh tahun mereka mesti membebaskan sesiapa sahaja orang Ibrani yang telah menjadi hamba mereka selama enam tahun. Tetapi nenek moyang kamu tidak memperhatikan atau mendengarkan firman-Ku.

15. Beberapa hari yang lalu, kamu melakukan perkara yang menyukakan hati-Ku. Kamu semua bersetuju untuk membebaskan sesama bangsa kamu yang menjadi hamba. Kamu membuat perjanjian di hadapan-Ku di Rumah-Ku, tempat Aku disembah.

16. Tetapi kemudian kamu mengubah fikiran dan menghina Aku. Hamba-hamba yang telah kamu bebaskan menurut kehendak mereka, telah kamu ambil kembali dan kamu paksa menjadi hamba semula.

Yeremia 34