1. TUHAN berfirman kepadaku ketika Raja Nebukadnezar dari Babilonia dan tenteranya menyerang Yerusalem serta kota-kota di sekitarnya. Raja itu dibantu oleh tentera negeri-negeri dan bangsa-bangsa yang takluk kepadanya.
2. TUHAN, Allah Israel, menyuruh aku menyampaikan firman-Nya kepada Raja Zedekia dari Yehuda, “Aku, TUHAN, akan menyerahkan kota ini kepada raja Babilonia dan dia akan membakarnya.
3. Engkau tidak akan dapat melarikan diri; engkau akan ditangkap dan diserahkan kepadanya. Engkau akan berjumpa dengan dia dan engkau sendiri bercakap dengan dia; lalu engkau akan pergi ke Babilonia.
4. Hai Zedekia, dengarlah firman-Ku tentang engkau. Engkau tidak akan dibunuh dalam pertempuran.
5. Engkau akan meninggal dengan tenteram, dan sebagaimana orang membakar kemenyan ketika mereka mengebumikan nenek moyangmu, iaitu raja-raja sebelum zamanmu, demikian juga mereka akan membakar kemenyan bagimu. Mereka akan berkabung bagimu dan berkata, ‘Raja kita sudah mangkat!’ Aku, TUHAN, telah berfirman.”
6. Kemudian aku menyampaikan perkhabaran itu kepada Raja Zedekia di Yerusalem,
7. pada masa tentera raja Babilonia menyerang kota Yerusalem. Tentera Babilonia juga menyerang Lakhis dan Aseka, dua buah kota berkubu yang masih bertahan di Yehuda.
8. Raja Zedekia dan penduduk Yerusalem membuat perjanjian untuk membebaskan
9. orang Ibrani yang menjadi hamba mereka, baik lelaki mahupun perempuan, supaya tiada seorang pun daripada bangsa Israel yang memperhamba sesama bangsanya.
18-19. Para pegawai negeri Yehuda dan Yerusalem, bersama para pegawai istana, para imam, dan segenap rakyat membuat perjanjian dengan Aku. Mereka menyembelih lembu jantan dan membelahnya menjadi dua, lalu berjalan di antara dua belahan lembu itu untuk mengesahkan perjanjian itu. Tetapi mereka melanggar perjanjian itu dan tidak memenuhi syarat-syaratnya. Oleh itu Aku akan memperlakukan mereka sebagaimana mereka memperlakukan lembu jantan itu.