Yeremia 33:1-9 Alkitab Berita Baik (BM)

1. Ketika aku masih ditahan di halaman istana, TUHAN menyampaikan perkhabaran lain kepadaku.

2. TUHAN, yang menciptakan bumi dan membentuk serta meletakkannya di tempatnya, berfirman kepadaku. Dia yang bernama TUHAN berfirman,

3. “Berserulah kepada-Ku, maka Aku akan menjawab; Aku akan memberitahu engkau hal-hal yang indah dan mengagumkan, yang belum engkau ketahui.

4. Aku, TUHAN, Allah Israel, berfirman bahawa rumah-rumah di Yerusalem dan istana raja Yehuda akan dirobohkan, akibat kepungan dan serangan musuh.

5. Beberapa orang akan berperang melawan orang Babilonia, yang akan memenuhkan rumah-rumah dengan mayat orang yang Aku pukul sehingga mati ketika Aku murka dan berang. Aku telah meninggalkan kota ini kerana kejahatan penduduknya.

6. Tetapi kelak Aku akan memulihkan keadaan kota ini dan menyembuhkan penduduknya. Aku akan melimpahkan kedamaian dan keamanan kepada mereka.

7. Aku akan menjadikan Yehuda dan Israel makmur, dan membangun mereka semula sehingga menjadi seperti dahulu.

8. Aku akan menyucikan mereka daripada dosa mereka terhadap-Ku; Aku akan mengampunkan dosa dan pemberontakan mereka.

9. Yerusalem akan menjadi kegembiraan, kehormatan, dan kebanggaan-Ku. Semua bangsa di dunia akan takut dan gentar, apabila mendengar tentang segala kebaikan yang Aku lakukan untuk penduduk Yerusalem, dan tentang kemakmuran yang Aku berikan kepada kota itu.”

Yeremia 33