Yeremia 3:8-21 Alkitab Berita Baik (BM)

8. Yehuda juga nampak bahawa Aku menceraikan Israel dan menghalaunya, kerana dia telah meninggalkan Aku dan menjadi pelacur. Tetapi Yehuda yang tidak setia, saudara Israel itu, tidak takut. Malah Yehuda ikut menjadi pelacur

9. dan sama sekali tidak berasa malu. Dia menajiskan negeri dan dia berzina kerana memuja batu dan pokok kayu.

10. Setelah melakukan semua itu, Yehuda yang tidak setia itu berpura-pura kembali kepada-Ku, kerana hatinya tidak ikhlas. Aku, TUHAN, telah berfirman.”

11. Kemudian TUHAN memberitahu aku bahawa walaupun Israel telah meninggalkan Dia, ternyata Israel lebih baik daripada Yehuda yang tidak setia itu.

12. TUHAN menyuruh aku pergi menyampaikan perkara ini kepada Israel, “Hai Israel yang tidak setia, kembalilah kepada-Ku. Aku penuh belas kasihan dan tidak murka; Aku tidak akan murka kepadamu selama-lamanya.

13. Hanya mengakulah bahawa engkau bersalah dan telah memberontak terhadap TUHAN, Allahmu. Mengakulah bahawa di bawah setiap pokok hijau engkau telah mencurahkan cintamu kepada tuhan-tuhan bangsa lain, dan tidak mentaati perintah-Ku. Aku, TUHAN telah berfirman.

14. Hai umat yang tidak setia, kembalilah kepada-Ku; kamu milik-Ku. Aku akan mengambil kamu, seorang dari setiap kota, dan dua orang daripada setiap puak, lalu Aku akan membawa kamu kembali ke Bukit Sion.

15. Aku akan memberi kamu pemimpin-pemimpin yang taat kepada-Ku. Mereka akan memimpin kamu dengan kebijaksanaan dan pengertian.

16. Kemudian apabila kamu telah bertambah banyak di negeri ini, orang tidak akan bercakap tentang Tabut Perjanjian-Ku lagi. Mereka tidak akan memikirkan atau mengingatnya lagi; malah mereka tidak akan memerlukannya atau membuat Tabut Perjanjian yang lain.

17. Pada masa itu kota Yerusalem akan disebut ‘Takhta TUHAN’, dan semua bangsa akan berkumpul di kota itu untuk menyembah Aku. Mereka tidak akan lagi mengikut kemahuan hati mereka yang degil dan jahat itu.

18. Israel akan bergabung dengan Yehuda, lalu bersama-sama datang dari negeri pembuangan di sebelah utara. Mereka akan kembali ke negeri yang telah Kuberikan sebagai tanah pusaka kepada nenek moyang kamu.”

19. TUHAN berfirman,“Hai Israel, Aku ingin menerima engkau sebagai anak-Ku,dan memberi engkau negeri yang menyenangkan hati,negeri yang terbaik di seluruh dunia.Aku ingin engkau memanggil Aku ‘Bapaku’,dan tidak sekali-kali berpaling daripada-Ku lagi.

20. Tetapi seperti isteri yang tidak setia,engkau pun tidak setia kepada-Ku.Aku, TUHAN telah berfirman.”

21. Suara terdengar di atas puncak-puncak bukit;suara umat Israel yang menangis dan merayu,kerana mereka telah berdosa,dan lupa akan TUHAN, Allah mereka.

Yeremia 3