9. Mereka menggunakan nama-Ku ketika berdusta kepada kamu. Aku tidak menyuruh mereka. Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa telah berfirman.’
10. TUHAN berfirman, ‘Apabila genap masa tujuh puluh tahun bagi Babilonia, Aku akan memperhatikan kamu lagi dan menepati janji-Ku untuk membawa kamu pulang.
11. Aku sendiri tahu akan rancangan-Ku untuk kamu. Rancangan itu bukan untuk mencelakakan kamu, tetapi untuk kemakmuran kamu dan untuk memberikan masa depan yang kamu harap-harapkan.
12. Barulah kamu akan berseru kepada-Ku. Kamu akan datang untuk berdoa kepada-Ku, dan Aku akan menjawab doa kamu.
13. Kamu akan mencari Aku dan kamu akan menemui Aku, kerana kamu mencari Aku dengan sepenuh hati.
14. Sesungguhnya, kamu akan menemui Aku. Aku akan mengembalikan kamu ke tanah kamu. Aku akan mengumpulkan kamu dari setiap negeri dan dari setiap tempat Aku mencerai-beraikan kamu. Aku akan membawa kamu pulang ke negeri asal kamu. Aku, TUHAN, telah berfirman.’
15. Kamu berkata bahawa TUHAN telah memberi kamu nabi-nabi di Babilonia.
16. Dengarlah apa yang difirmankan TUHAN tentang raja yang memerintah negeri yang diperintah oleh Daud dahulu, dan tentang penduduk kota ini, iaitu sanak saudara kamu yang tidak dibawa ke pembuangan bersama-sama kamu.
17. TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, ‘Aku akan mendatangkan peperangan, kebuluran, dan wabak penyakit kepada mereka. Aku akan memperlakukan mereka seperti buah ara yang terlalu busuk sehingga tidak dapat dimakan.
18. Aku akan mengejar mereka dengan peperangan, kebuluran, dan wabak sehingga semua bangsa di seluruh dunia ngeri melihat keadaan mereka. Di mana-mana Aku mencerai-beraikan mereka, orang akan ngeri dan takut melihat apa yang telah berlaku kepada mereka. Mereka akan diejek, dan nama mereka digunakan sebagai kutuk.
19. Semua hal itu berlaku kepada mereka kerana mereka tidak menurut perkhabaran-Ku yang Aku sampaikan terus-menerus kepada mereka melalui para nabi, hamba-hamba-Ku. Mereka tidak mahu mendengarkan perkhabaran-Ku itu.
20. Kamu semua yang telah Kubuang ke Babilonia, dengarlah apa yang Aku, TUHAN, firmankan.’