Yeremia 29:20-32 Alkitab Berita Baik (BM)

20. Kamu semua yang telah Kubuang ke Babilonia, dengarlah apa yang Aku, TUHAN, firmankan.’

21. TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, telah berfirman tentang Ahab anak Kolaya, dan tentang Zedekia anak Maaseya, yang menggunakan nama TUHAN untuk menyampaikan dusta kepada kamu. TUHAN berfirman bahawa Dia akan menyerahkan mereka kepada kekuasaan Raja Nebukadnezar dari Babilonia, yang akan membunuh mereka di hadapan kamu.

22. Apabila orang yang telah dibawa dari Yerusalem ke Babilonia, hendak mengutuk seseorang, mereka akan berkata, ‘Semoga TUHAN memperlakukan engkau seperti Zedekia dan Ahab, yang telah dibakar hidup-hidup oleh raja Babilonia.’

23. Begitulah kesudahan mereka kerana mereka melakukan dosa-dosa besar di Israel: mereka berzina, dan menggunakan nama TUHAN untuk berdusta. Perbuatan itu bertentangan dengan kehendak TUHAN. Dia tahu apa yang dilakukan mereka, dan Dia sendiri menjadi saksi yang melawan mereka. TUHAN telah berfirman.”

24-25. TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel memberikan perkhabaran kepadaku untuk Semaya, orang Nehelam, kerana Semaya telah mengirim surat dengan menggunakan namanya sendiri kepada semua penduduk Yerusalem, kepada Imam Zefanya anak Maaseya dan kepada semua imam yang lain. Surat yang ditulis oleh Semaya kepada Zefanya berbunyi demikian,

26. “TUHAN telah melantik engkau menjadi imam untuk menggantikan Yoyada, dan sekarang engkaulah pegawai tertinggi di Rumah TUHAN. Engkau bertanggungjawab untuk memastikan supaya setiap orang gila yang mengaku dirinya nabi, dibelenggu dengan rantai besi pada lehernya.

27. Mengapa engkau tidak bertindak terhadap Yeremia orang Anatot itu, yang telah berlaku sebagai nabi di kalangan bangsa kita?

28. Dia telah memberitahu orang kita di Babilonia bahawa mereka masih lama tinggal di sana sebagai orang tawanan; lalu mereka harus mendirikan rumah, menetap di sana, membuka ladang, dan makan hasilnya.”

29. Surat itu dibacakan oleh Imam Zefanya kepadaku.

30. Oleh itu TUHAN menyuruh aku

31. mengirim berita tentang Semaya kepada semua orang Israel yang dibuang ke Babilonia. Berita itu demikian: “Semaya telah berucap kepada kamu seolah-olah dia seorang nabi; padahal Aku, TUHAN, tidak menyuruh dia. Oleh sebab dia telah menyebabkan kamu percaya kepada dusta,

32. dan menyuruh kamu melawan Aku, maka Aku akan menghukum dia dan keturunannya. Dia tidak akan mempunyai keturunan yang tinggal di kalangan kamu. Dia tidak akan hidup untuk melihat hal-hal baik yang akan Kulakukan untuk umat-Ku. Aku, TUHAN, telah berfirman.”

Yeremia 29