25. Aku tahu semua yang dikatakan oleh nabi-nabi itu. Demi nama-Ku mereka berdusta bahawa perkhabaran-Ku telah diterima mereka melalui mimpi.
26. Sampai bilakah nabi-nabi itu akan menyesatkan umat-Ku dengan dusta yang dibuat-buat mereka sendiri?
27. Mereka berfikir bahawa mimpi-mimpi yang diceritakan mereka itu akan menyebabkan umat-Ku melupakan Aku sebagaimana nenek moyang mereka melupakan Aku, lalu menyembah Baal.
28. Nabi yang bermimpi seharusnya berkata, ‘Itu hanya mimpi.’ Tetapi nabi yang menerima perkhabaran daripada-Ku haruslah menyampaikan perkhabaran itu dengan setia. Apalah jerami jika dibandingkan dengan gandum!
29. Firman-Ku bagaikan api, dan bagaikan tukul yang menghancurkan batu.
30. Aku melawan nabi-nabi yang menyampaikan perkhabaran daripada sesama mereka, lalu mengatakan bahawa perkhabaran itu daripada-Ku.
31. Aku juga melawan nabi-nabi yang menyampaikan kata-kata sendiri, lalu mengatakan bahawa kata-kata itu daripada-Ku.
32. Aku, TUHAN berfirman; dengarlah! Aku akan melawan nabi-nabi yang menyampaikan mimpi yang penuh dusta. Mereka menceritakan mimpi-mimpi itu lalu menyesatkan umat-Ku dengan dusta dan cakap besar mereka. Aku tidak mengutus atau memberikan arahan kepada nabi-nabi itu. Mereka sama sekali tidak berguna bagi umat-Ku. Aku, TUHAN, telah berfirman.”
33. TUHAN berfirman, “Hai Yeremia, apabila salah seorang umat-Ku, atau seorang nabi atau seorang imam bertanya kepadamu, ‘Apa perkhabaran TUHAN?’ Engkau harus menjawab, ‘Engkaulah beban TUHAN, kerana itu engkau akan dibuang-Nya.’
34. Jika salah seorang umat-Ku atau seorang nabi atau seorang imam menyebut perkataan ‘beban TUHAN’, Aku akan menghukum dia dan keluarganya.