15. Inilah firman TUHAN Yang Maha Kuasa tentang nabi-nabi di Yerusalem, “Aku akan memberi mereka tanaman pahit sebagai makanan dan racun sebagai minuman, kerana mereka menyebabkan orang di seluruh negeri tidak mentaati Aku.”
16. TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman kepada penduduk Yerusalem, “Jangan dengarkan perkataan nabi-nabi yang sentiasa memberikan harapan kosong belaka. Mereka hanya menyampaikan khayalan sendiri dan bukan perkhabaran daripada-Ku.
17. Mereka selalu berkata kepada orang yang tidak mahu mendengarkan firman-Ku, ‘Kamu akan selamat.’ Mereka berkata kepada setiap orang yang degil, ‘Kamu tidak akan ditimpa bencana.’ ”
18. Aku berkata, “Tiada seorang pun daripada nabi-nabi itu mengetahui apa yang terkandung dalam fikiran TUHAN. Tiada seorang pun antara mereka yang pernah mendengar dan memahami rancangan-Nya; tiada juga yang memperhatikan atau mengendahkan firman-Nya.
19. Kemurkaan-Nya bagaikan angin ribut yang mengamuk dan melanda orang jahat.
20. Kemurkaan-Nya tidak akan reda sebelum semua rancangan-Nya dilaksanakan. Pada kemudian hari, umat TUHAN akan memahami hal itu dengan jelas.”
21. TUHAN berfirman, “Aku tidak mengutus nabi-nabi itu, namun mereka pergi juga. Aku tidak memberikan perkhabaran kepada mereka, namun mereka berkata-kata demi nama-Ku.
22. Seandainya mereka tahu apa yang terkandung dalam fikiran-Ku, tentu mereka akan mengisytiharkan perkhabaran-Ku kepada umat-Ku. Dengan demikian umat-Ku akan berhenti melakukan dosa dan perbuatan yang jahat.
23. Aku ini Allah yang hadir di mana-mana, dan bukan Allah yang hadir di satu tempat sahaja.
24. Tiada seorang pun dapat menyembunyikan diri daripada pandangan-Ku, kerana Aku hadir di mana-mana, di syurga dan di bumi.
25. Aku tahu semua yang dikatakan oleh nabi-nabi itu. Demi nama-Ku mereka berdusta bahawa perkhabaran-Ku telah diterima mereka melalui mimpi.