1-2. TUHAN menyuruh aku pergi ke istana raja Yehuda, keturunan Raja Daud, untuk menyampaikan perkhabaran TUHAN kepada raja dan kepada para pegawainya, serta penduduk Yerusalem. Inilah firman TUHAN kepada mereka,
3. “Lakukanlah apa yang adil dan jujur. Lepaskanlah orang yang ditipu daripada kekuasaan orang yang menipunya. Jangan tindas atau berbuat jahat terhadap orang asing, anak yatim piatu atau balu. Jangan bunuh orang yang tidak bersalah di tempat yang suci ini.
4. Jika kamu sungguh-sungguh menjalankan perintah-Ku, maka keturunan Daud akan tetap menjadi raja. Mereka bersama dengan para pegawai dan rakyat mereka akan melalui pintu gerbang istana ini dengan mengendarai kereta kuda dan menunggang kuda.
5. Tetapi jika kamu tidak mentaati perintah-Ku, Aku bersumpah bahawa istana ini akan menjadi runtuhan. Aku, TUHAN, telah berfirman.
6. Bagi-Ku, istana raja Yehuda seindah tanah Gilead dan Pergunungan Lebanon, tetapi tempat itu akan Kujadikan gurun yang tidak didiami orang.
7. Aku akan mengirim orang untuk menghancurkannya. Mereka akan membawa kapak, lalu merobohkan tiang-tiangnya yang indah, yang dibuat daripada kayu sedar. Kemudian mereka akan melemparkannya ke dalam api.
8. Selepas itu banyak orang asing akan lalu di situ dan bertanya kepada satu sama lain, mengapa Aku, TUHAN, telah bertindak begitu terhadap kota yang besar itu.
9. Kemudian mereka akan menjawab bahawa semua itu berlaku kerana kamu telah mengingkari perjanjian kamu dengan Aku, Allah kamu, dan telah menyembah serta mengabdi kepada tuhan-tuhan lain.”
10. Hai penduduk Yehuda, jangan tangisi Raja Yosia;jangan ratapi kemangkatan raja.Tetapi tangisilah Yoahas, putera raja;kerana putera itu telah dibawa pergidan tidak akan kembali.Dia tidak akan melihat tanah airnya lagi.
11. Inilah firman TUHAN tentang Raja Yoahas, putera Raja Yosia, yang menjadi raja Yehuda menggantikan ayahandanya, “Dia telah pergi dari sini, dan tidak akan kembali.