27. Kamu semua akan dipermalukan. Kamu yang menyebut sebatang pokok sebagai bapa kamu dan sebuah bukit batu sebagai ibu kamu. Hal ini akan berlaku kerana kamu meninggalkan Aku dan tidak datang kepada-Ku. Tetapi apabila kamu dalam kesusahan, kamu memanggil Aku untuk datang menyelamatkan kamu.
28. Di manakah patung-patung dewa yang kamu buat itu? Apabila kamu dalam kesusahan, mintalah dewa-dewa itu menyelamatkan kamu, jika dewa-dewa itu benar-benar sanggup! Hai Yehuda, dewa kamu sebanyak kota kamu!
29. Apakah sungutan kamu? Mengapakah kamu melawan Aku?
30. Sia-sia sahaja Aku menghukum kamu, kerana kamu tidak mahu menerima pengajaran-Ku. Seperti singa yang sedang mengamuk, demikianlah kamu membunuh para nabi kamu.
31. Hai umat Israel, dengarlah akan firman-Ku ini. Pernahkah Aku seperti gurun bagi kamu atau seperti tanah yang gelap dan berbahaya? Tetapi mengapakah kamu berkata bahawa kamu mahu ikut kehendak sendiri, dan tidak mahu kembali kepada-Ku lagi?
32. Adakah gadis yang lupa akan perhiasannya, atau pengantin perempuan yang lupa akan baju pengantinnya? Tetapi umat-Ku telah lupa akan Aku lama sekali - jumlah harinya tidak terhitung lagi.
33. Kamu sangat pandai mencari jalan untuk memikat hati kekasih. Perempuan yang paling jahat pun masih dapat belajar kejahatan daripada kamu!
34. Pakaian kamu dinodai darah orang miskin dan orang yang tidak bersalah, bukan darah pencuri yang tertangkap.Namun demikian,
35. kamu masih berkata, ‘Aku tidak bersalah; tentu TUHAN tidak murka lagi kepadaku.’ Tetapi Aku, TUHAN akan menghukum kamu kerana kamu tidak mahu mengakui dosa kamu.
36. Kamu telah merendahkan harga diri kerana pergi kepada dewa-dewa bangsa lain. Kamu akan dikecewakan oleh Mesir, sebagaimana kamu dikecewakan oleh Asyur.
37. Kamu akan meninggalkan Mesir dengan kepala tertunduk kerana kecewa dan malu. Aku, TUHAN, telah menolak mereka yang kamu harapkan; kamu tidak akan mendapat keuntungan apa-apa daripada mereka.”