15. Orang berkata kepadaku, “Di manakah semua ancaman TUHAN terhadap kami? Biarlah Dia melaksanakan semuanya sekarang!”
16. Tetapi, ya TUHAN, tidak pernah aku mendesak Engkau untuk mendatangkan kecelakaan kepada mereka. Aku tidak juga mengingini kesusahan menimpa mereka. Engkau tahu hal itu, ya TUHAN. Engkau tahu apa yang kukatakan.
17. Janganlah Engkau menjadi sesuatu yang menakutkan aku. Engkaulah tempat aku berlindung apabila kesusahan datang.
18. Semoga Engkau mempermalukan orang yang menganiaya aku, tetapi lindungilah aku, ya TUHAN. Liputilah mereka dengan ketakutan, tetapi janganlah takutkan aku. Datangkanlah malapetaka terhadap mereka sehingga mereka hancur binasa.
19. TUHAN berfirman kepadaku, “Hai Yeremia, pergilah ke Pintu Gerbang Rakyat yang dilalui raja-raja Yehuda apabila mereka keluar masuk kota, dan isytiharkanlah perkhabaran-Ku di situ. Kemudian pergilah ke semua pintu gerbang yang lain di Yerusalem.
20. Suruhlah raja-raja dan semua orang Yehuda serta segenap penduduk Yerusalem yang lalu di pintu-pintu itu, supaya mendengar firman-Ku.
21. Katakanlah begini, ‘Jika kamu tidak mahu mati, jangan angkat beban pada hari Sabat, atau membawanya masuk melalui pintu-pintu gerbang Yerusalem.
22. Jangan bekerja dan jangan angkat beban keluar dari rumah kamu pada hari Sabat. Rayakanlah hari itu sebagai hari yang khas untuk Aku seperti yang telah Kuperintahkan kepada nenek moyang kamu.
23. Tetapi nenek moyang kamu tidak mahu mendengarkan Aku atau memperhatikan firman-Ku. Mereka degil dan tidak mahu taat atau menerima ajaran daripada-Ku.
24. Taatilah semua perintah-Ku. Jangan angkat beban melalui pintu gerbang kota ini pada hari Sabat. Rayakanlah hari Sabat sebagai hari yang khas untuk Aku, dan jangan bekerja pada hari itu.
25. Jika kamu sungguh-sungguh menjalankan perintah-Ku itu, maka para raja dan pegawai yang memerintah seperti Daud akan memasuki pintu-pintu gerbang kota Yerusalem. Mereka bersama dengan orang Yehuda dan penduduk Yerusalem, akan mengenderai kereta kuda dan menunggang kuda, sehingga kota Yerusalem dipenuhi orang selama-lamanya.
26. Orang akan datang dari kota-kota Yehuda, dan dari kampung-kampung di sekitar Yerusalem; mereka akan datang dari wilayah Benyamin, dari kawasan kaki bukit, dari kawasan pergunungan, dan dari bahagian selatan Yehuda. Mereka akan membawa korban untuk menyenangkan hati-Ku dan korban-korban lain, korban untuk mengucap syukur, dan kemenyan, serta korban kesyukuran ke Rumah-Ku.
27. Semua perkara itu akan berlaku apabila kamu taat kepada-Ku dan merayakan hari Sabat sebagai hari yang khas untuk Aku. Jangan angkat beban melalui pintu-pintu gerbang Yerusalem pada hari itu. Jika kamu melanggar perintah-Ku itu, Aku akan membakar habis pintu-pintu gerbang Yerusalem serta istana-istananya, dan api itu tidak akan dapat dipadamkan oleh sesiapa pun.’ ”