1. TUHAN berfirman lagi kepadaku,
2. “Jangan berkahwin atau mempunyai anak di tempat ini.
3. Aku akan memberitahu engkau tentang hal yang akan berlaku terhadap anak-anak yang dilahirkan di sini dan terhadap ibu bapa mereka.
4. Mereka akan mati kerana diserang penyakit yang membawa maut. Tiada seorang pun akan meratapi atau menguburkan mereka. Mayat mereka akan berselerak seperti baja di tanah. Mereka akan terbunuh dalam peperangan atau mati kelaparan. Mayat mereka akan dimakan burung dan binatang buas.
5. Jangan masuk ke rumah orang yang sedang berkabung. Jangan ratapi sesiapa pun. Aku tidak lagi memberkati umat-Ku dengan kesejahteraan, dan Aku tidak akan menunjukkan kasih sayang atau belas kasihan kepada mereka.
6. Orang kaya dan orang miskin di negeri ini akan mati, tetapi tiada sesiapa pun akan meratapi atau menguburkan mereka. Tiada seorang pun akan melukakan tubuh atau mencukur rambut kepala sebagai tanda berkabung untuk mereka.
7. Apabila ada orang yang meninggal, tiada sesiapa pun akan makan atau minum dengan keluarga orang itu untuk menghiburkan mereka. Apabila ada orang yang kehilangan ibu atau bapa, tiada sesiapa yang akan turut berdukacita dengan mereka.
8. Jangan masuk ke rumah orang yang sedang berpesta. Jangan duduk dan makan minum bersama-sama mereka.
9. Dengarlah firman daripada Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel. Suara keriangan dan kesukaan serta keramaian pesta perkahwinan akan Kuhentikan. Perkara itu akan disaksikan oleh orang yang hidup pada zamanmu ini.
10. Apabila engkau menyampaikan semua hal ini kepada mereka, mereka akan bertanya sebabnya Aku mengambil keputusan untuk menghukum mereka dengan begitu keras. Mereka akan bertanya tentang kesalahan dan dosa mereka terhadap Aku, TUHAN Allah mereka.
11. Beritahulah mereka bahawa demikianlah firman TUHAN, ‘Nenek moyang kamu berpaling daripada-Ku lalu menyembah dan mengabdi kepada tuhan-tuhan lain. Mereka meninggalkan Aku dan tidak mahu taat kepada peraturan-Ku.
12. Tetapi perbuatan kamu lebih jahat daripada perbuatan nenek moyang kamu. Kamu semua degil dan jahat. Kamu tidak mahu taat kepada-Ku.
13. Oleh itu, Aku akan mengusir kamu dari negeri ini dan membuang kamu ke sebuah negeri yang asing sekali bagi kamu dan bagi nenek moyang kamu. Di sana kamu akan mengabdi kepada tuhan-tuhan lain pada siang dan malam, dan Aku tidak akan mengasihani kamu.’ ”