Yehezkiel 8:7-18 Alkitab Berita Baik (BM)

7. Dia membawa aku ke pintu masuk di halaman luar dan menunjukkan sebuah lubang di tembok kepadaku.

8. Dia berfirman, “Hai manusia fana, besarkan lubang ini.” Aku pun melakukannya, lalu mendapati sebuah pintu.

9. Dia berfirman kepadaku, “Masuklah dan lihatlah perbuatan yang keji dan menjijikkan yang dilakukan oleh mereka di situ.”

10. Aku pun masuk dan melihatnya. Dinding di situ dilukisi segala jenis binatang melata dan binatang najis yang lain, dan juga gambar berhala-berhala yang disembah umat Israel.

11. Tujuh puluh orang pemimpin Israel berada di situ, termasuk Yaazanya anak Safan. Setiap orang memegang sebuah perbaraan yang mengepulkan asap.

12. Lalu Allah bertanya kepadaku, “Hai manusia fana, adakah engkau nampak apa yang sedang dilakukan oleh pemimpin Israel dengan diam-diam? Mereka semua bersembahyang di dalam bilik yang penuh berhala dengan alasan bahawa Aku tidak nampak mereka dan Aku telah meninggalkan negeri ini.”

13. Lalu TUHAN berfirman kepadaku, “Engkau akan melihat mereka melakukan hal-hal yang lebih menjijikkan daripada hal itu.”

14. Maka Dia membawa aku ke pintu gerbang utara Rumah TUHAN. Di situ aku diperlihatkan-Nya perempuan-perempuan yang sedang menangisi kematian Dewa Tamus.

15. Dia bertanya, “Hai manusia fana, adakah engkau nampak hal itu? Engkau akan melihat hal-hal yang lebih menjijikkan lagi.”

16. Oleh itu Dia membawa aku ke halaman dalam di Rumah TUHAN. Di situ, dekat pintu masuk ke tempat suci, di antara mazbah dan serambi, ada kira-kira dua puluh lima orang lelaki. Mereka membelakangi tempat suci itu dan bersujud ke arah timur untuk menyembah matahari yang terbit.

17. TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, adakah engkau nampak hal itu? Penduduk Yehuda tidak puas dengan perbuatan mereka yang menjijikkan ataupun keganasan yang telah dilakukan mereka di seluruh negeri ini. Bahkan mereka melakukan semua itu di sini juga, di dalam Rumah-Ku dan membuat Aku lebih murka lagi. Lihatlah bagaimana mereka menghina Aku dengan cara yang paling keji!

18. Mereka akan merasai kedahsyatan kemurkaan-Ku. Aku tidak akan melepaskan mereka ataupun mengasihani mereka. Mereka akan meneriakkan doa kepada-Ku dengan sekuat-kuatnya, tetapi Aku tidak akan mendengar mereka.”

Yehezkiel 8