Yehezkiel 7:8-21 Alkitab Berita Baik (BM)

8. Sebentar lagi kamu akan merasakan kedahsyatan kemurkaan-Ku. Aku akan mengadili kamu, dan Aku akan membalas kamu bagi segala kelakuan kamu yang menjijikkan.

9. Aku tidak akan melepaskan kamu ataupun mengasihani kamu. Aku akan menghukum kamu bagi perbuatan kamu yang menjijikkan, supaya kamu tahu bahawa Akulah TUHAN dan Akulah yang menghukum kamu.”

10. Hari bencana bagi Israel hampir tiba. Keganasan bertambah-tambah. Kesombongan mencapai puncaknya.

11. Keganasan mengakibatkan lebih banyak kejahatan. Segala kekayaan, keagungan, dan kemuliaan mereka akan lenyap.

12. Waktunya semakin hampir, harinya sudah dekat, apabila berjual beli tidak lagi bermakna, kerana hukuman Allah akan menimpa setiap orang.

13. Pedagang tidak akan hidup lama untuk menutup kerugian, kerana kemurkaan Allah menimpa setiap orang. Mereka yang jahat tidak akan selamat.

14. Trompet ditiup dan semua orang bersiap-sedia. Tetapi tidak ada seorang pun berangkat ke medan perang, kerana kemurkaan Allah akan menimpa setiap orang.

15. Orang berperang di jalan, orang sakit dan kelaparan di dalam rumah. Sesiapa yang berada di luar kota akan mati kerana peperangan, dan sesiapa yang berada di dalam kota akan menjadi mangsa penyakit dan kelaparan.

16. Ada orang yang lari ke gunung seperti burung merpati terbang dari lembah kerana takut. Mereka semua merintih kerana dosa mereka.

17. Tangan setiap orang menjadi lemah, lutut mereka goyah.

18. Mereka akan memakai kain guni dan seluruh badan mereka akan gementar. Rambut mereka akan dicukur, dan mereka semua akan dipermalukan.

19. Mereka akan membuang emas dan perak seperti sampah di jalan, kerana baik perak mahupun emas tidak dapat menyelamatkan mereka apabila TUHAN melampiaskan kemurkaan-Nya. Mereka tidak dapat menggunakan emas dan perak itu untuk memuaskan diri ataupun mengenyangkan perut. Justeru emas dan peraklah yang menyebabkan mereka berdosa.

20. Pada suatu masa dahulu mereka membangga-banggakan permata yang indah, tetapi mereka menggunakannya untuk membuat berhala-berhala yang menjijikkan. Oleh itu TUHAN membuat harta mereka itu memuakkan mereka.

21. TUHAN berfirman, “Aku akan membiarkan orang bangsa asing merompak mereka. Penjahat akan merampas harta mereka serta mencemarkannya.

Yehezkiel 7