1. TUHAN berfirman kepadaku,
2. “Hai manusia fana, Aku, TUHAN Raja hendak berfirman kepada negeri Israel: Inilah kemusnahan seluruh negeri!
3. Hai Israel, sekarang sudah tiba kemusnahanmu! Engkau akan merasakan kemurkaan-Ku, kerana Aku mengadili perbuatanmu. Aku akan membalas kelakuanmu yang menjijikkan itu.
4. Aku tidak akan melepaskan engkau ataupun mengasihani engkau. Aku akan menghukum engkau bagi perbuatanmu yang menjijikkan itu, supaya engkau tahu bahawa Akulah TUHAN.”
5. Inilah yang difirmankan TUHAN Raja, “Bencana demi bencana akan menimpa engkau.
6. Segalanya telah berakhir. Inilah kemusnahanmu. Tidak ada harapan lagi bagimu.
7. Hai penduduk negeri ini, segalanya telah berakhir bagi kamu. Kamu tidak akan mengadakan perayaan lagi di tempat pemujaan di atas gunung; hanya kekacauan akan engkau alami.
8. Sebentar lagi kamu akan merasakan kedahsyatan kemurkaan-Ku. Aku akan mengadili kamu, dan Aku akan membalas kamu bagi segala kelakuan kamu yang menjijikkan.
9. Aku tidak akan melepaskan kamu ataupun mengasihani kamu. Aku akan menghukum kamu bagi perbuatan kamu yang menjijikkan, supaya kamu tahu bahawa Akulah TUHAN dan Akulah yang menghukum kamu.”
10. Hari bencana bagi Israel hampir tiba. Keganasan bertambah-tambah. Kesombongan mencapai puncaknya.
11. Keganasan mengakibatkan lebih banyak kejahatan. Segala kekayaan, keagungan, dan kemuliaan mereka akan lenyap.
12. Waktunya semakin hampir, harinya sudah dekat, apabila berjual beli tidak lagi bermakna, kerana hukuman Allah akan menimpa setiap orang.
13. Pedagang tidak akan hidup lama untuk menutup kerugian, kerana kemurkaan Allah menimpa setiap orang. Mereka yang jahat tidak akan selamat.
14. Trompet ditiup dan semua orang bersiap-sedia. Tetapi tidak ada seorang pun berangkat ke medan perang, kerana kemurkaan Allah akan menimpa setiap orang.