Yehezkiel 48:1-7-17 Alkitab Berita Baik (BM)

1-7. Sempadan di utara tanah itu menuju ke timur, bermula dari Laut Tengah ke kota Hetlon, ke Genting Hamat, kota Enon, sampai ke sempadan di antara kerajaan Damsyik dan kerajaan Hamat. Setiap suku ini harus menerima sebahagian tanah yang terbentang dari sempadan timur menuju ke barat sampai ke Laut Tengah, dalam urutan berikut dari utara ke selatan:DanAsyerNaftaliManasyeEfraimRubenYehuda

8. Bahagian tanah yang selanjutnya harus diasingkan untuk kegunaan yang tertentu. Panjangnya harus 12.5 kilometer dari sempadan utara ke selatan. Sempadan timur dan barat harus sama panjangnya dengan bahagian-bahagian yang diberikan kepada suku-suku lain. Rumah TUHAN akan dibina di bahagian ini.

9. Di pusat bahagian ini, sebuah kawasan seluas 12.5 kilometer panjang dan 10 kilometer lebar, dikhaskan untuk TUHAN.

10. Para imam akan mendapat sebahagian daripada kawasan yang suci ini. Bahagian mereka seluas 12.5 kilometer dari timur ke barat, dan 5 kilometer dari utara ke selatan. Rumah TUHAN harus dibina di tengah-tengah bahagian ini.

11. Bahagian suci ini untuk para imam keturunan Zadok. Mereka telah mengabdi kepada-Ku dengan setia dan tidak seperti orang Lewi sesuku mereka, yang turut berbuat dosa bersama-sama umat Israel yang lain.

12. Oleh itu keturunan Zadok harus diberikan bahagian istimewa, di samping kawasan orang Lewi. Bahagian itulah yang paling suci.

13. Orang Lewi juga akan memiliki bahagian khas di sebelah selatan tanah para imam. Luasnya juga harus 12.5 kilometer dari timur ke barat, dan 5 kilometer dari utara ke selatan.

14. Tanah yang dikhaskan untuk TUHAN ialah tanah yang terbaik di seluruh negeri. Sejengkal pun daripada tanah itu tidak boleh dijual, ditukar ataupun dipindah ke tangan orang lain, kerana tanah itu suci dan milik TUHAN.

15. Di bahagian selatan tanah yang dikhaskan itu, masih ada bahagian selebihnya yang panjangnya 12.5 kilometer dan lebarnya 2.5 kilometer. Bahagian ini tidak suci dan boleh digunakan oleh rakyat. Mereka boleh tinggal di situ dan menggunakan tanah itu sebagai padang rumput. Sebuah kota harus dibina di tengah-tengahnya,

16. dan bentuknya empat persegi; setiap sisinya berukuran 2.25 kilometer.

17. Di sekeliling kota itu harus ada tempat terbuka yang lebarnya 125 meter.

Yehezkiel 48