Yehezkiel 47:12-23 Alkitab Berita Baik (BM)

12. Di kedua-dua tebing sungai itu akan tumbuh berjenis-jenis pokok buah. Daun pokok-pokok itu tidak akan layu, dan pokok-pokok itu tidak akan berhenti berbuah. Setiap bulan pokok-pokok itu akan menghasilkan buah-buah yang baru, kerana pokok-pokok itu diairi oleh air yang mengalir dari Rumah TUHAN. Buah-buah itu menjadi makanan dan daun-daunnya digunakan sebagai ubat.”

13. TUHAN Raja berfirman, “Yang berikut ialah sempadan tanah yang akan dibahagikan kepada dua belas suku Israel. Suku Yusuf harus mendapat dua bahagian.

14. Aku telah bersumpah kepada nenek moyang kamu bahawa Aku akan memberi mereka tanah ini. Oleh itu, bahagikanlah tanah ini dengan sama rata antara kamu sendiri.

15. Sempadan di utara bermula dari Laut Tengah, dan menuju ke arah timur sampai ke kota Hetlon, ke Genting Hamat, ke kota Zedad,

16. ke Berota dan Sibraim (kota-kota itu terletak di antara kawasan kerajaan Damsyik dan kerajaan Hamat), dan Tikon (kota yang terletak di sempadan kerajaan Hauran).

17. Dengan kata lain, sempadan di utara bermula dari Laut Tengah menuju ke arah timur sampai ke kota Enon; Damsyik dan Hamat terletak di sebelah utara sempadan itu.

18. Sempadan di timur menuju ke selatan, dari suatu tempat di antara kerajaan Damsyik dan kerajaan Hauran. Sungai Yordan merupakan sempadan di antara tanah Israel di sebelah barat, dan Gilead di sebelah timur, sampai ke kota Tamar di pantai Laut Mati.

19. Sempadan selatan menuju ke arah barat daya, dari Tamar ke mata air Kades-Meriba, lalu ke barat laut sepanjang sempadan negeri Mesir, sampai ke Laut Tengah.

20. Sempadan barat dibentuk oleh Laut Tengah, lalu menuju ke utara sampai ke suatu tempat di sebelah barat Genting Hamat.

21. Bahagikanlah tanah itu antara suku-suku kamu.

22. Tanah itu milik kamu untuk selama-lamanya. Orang asing yang tinggal di kalangan kamu, yang telah melahirkan anak-anak di negeri ini juga harus menerima bahagian apabila kamu membahagikan tanah itu. Mereka mesti diperlakukan seperti warga negara Israel, dan harus membuang undi untuk mendapatkan bahagian tanah mereka bersama-sama suku Israel yang lain.

23. Setiap orang asing yang menjadi penduduk negeri ini mesti diberikan bahagian tanah bersama-sama suku di tempat mereka tinggal. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.”

Yehezkiel 47