Yehezkiel 46:7-19 Alkitab Berita Baik (BM)

7. Bagi setiap ekor lembu jantan dan setiap ekor domba jantan, dia harus mempersembahkan 17.5 liter bijirin; dan bagi setiap ekor anak domba, dia harus mempersembahkan bijirin sebanyak yang diingininya. Setiap 17.5 liter bijirin harus disertai 3 liter minyak zaitun.

8. Penguasa mesti masuk melalui ruang besar itu dan keluar melalui jalan yang sama.

9. Apabila penduduk kota datang untuk beribadat kepada TUHAN pada hari perayaan, mereka yang masuk melalui pintu gerbang utara, harus keluar melalui pintu gerbang selatan. Mereka yang masuk melalui pintu gerbang selatan, harus keluar melalui pintu gerbang utara. Tidak sesiapa pun boleh keluar melalui pintu yang dimasukinya, tetapi dia mesti keluar melalui pintu yang di seberangnya.

10. Penguasa harus masuk ke Rumah TUHAN bersama-sama rakyat, dan keluar bersama-sama rakyat.

11. Pada hari-hari pesta dan perayaan, bijirin sebanyak 17.5 liter harus dipersembahkan bersama dengan setiap lembu jantan atau domba jantan. Orang yang beribadat boleh mempersembahkan bijirin sebanyak yang diingininya bersama dengan setiap ekor anak domba. Setiap 17.5 liter bijirin harus disertai 3 liter minyak zaitun.

12. Jika penguasa ingin memberikan persembahan sukarela kepada TUHAN, baik korban untuk menyenangkan hati TUHAN, ataupun korban untuk memohon berkat TUHAN, pintu gerbang timur yang menuju ke halaman dalam harus dibuka baginya. Dia harus mempersembahkan korban itu dengan cara yang sama seperti yang dilakukannya pada hari Sabat, dan pintu gerbang harus ditutup semula selepas dia keluar.”

13. TUHAN berfirman, “Setiap hari pada waktu pagi, seekor anak domba yang berusia satu tahun dan tidak ada cacat harus dipersembahkan sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN.

14. Pada setiap pagi harus dipersembahkan juga 2 kilogram bijirin dan 1 liter minyak zaitun untuk dicampur dengan bijirin itu. Peraturan ini harus ditaati selama-lamanya.

15. Anak domba, bijirin, dan minyak zaitun itu harus dipersembahkan kepada TUHAN pada setiap pagi untuk selama-lamanya.”

16. TUHAN Raja memberikan perintah, “Jika penguasa memberikan sebahagian tanah pusakanya kepada salah seorang anak lelakinya sebagai hadiah, tanah itu menjadi milik anak itu dan merupakan harta keluarganya.

17. Tetapi jika penguasa memberikan sebahagian tanah pusakanya kepada seorang pegawainya, tanah itu menjadi milik penguasa lagi pada Tahun Pengembalian. Tanah itu milik penguasa, dan hanya dia dan anak-anak lelakinya tetap memiliki tanah itu.

18. Penguasa itu tidak boleh merampas tanah pusaka rakyatnya. Tanah yang diberikannya kepada anak-anak lelakinya mesti tanahnya sendiri yang telah ditentukan baginya, supaya dia tidak menindas sesiapa pun umat-Ku dengan merampas tanah mereka.”

19. Kemudian lelaki itu membawa aku ke pintu yang berhampiran dengan pintu gerbang, di bahagian selatan halaman dalam, ke bilik-bilik suci yang menghadap ke utara. Bilik-bilik itu untuk para imam. Lelaki itu menunjuk ke satu ruangan di sebelah barat bilik-bilik itu

Yehezkiel 46