11. Pada hari-hari pesta dan perayaan, bijirin sebanyak 17.5 liter harus dipersembahkan bersama dengan setiap lembu jantan atau domba jantan. Orang yang beribadat boleh mempersembahkan bijirin sebanyak yang diingininya bersama dengan setiap ekor anak domba. Setiap 17.5 liter bijirin harus disertai 3 liter minyak zaitun.
12. Jika penguasa ingin memberikan persembahan sukarela kepada TUHAN, baik korban untuk menyenangkan hati TUHAN, ataupun korban untuk memohon berkat TUHAN, pintu gerbang timur yang menuju ke halaman dalam harus dibuka baginya. Dia harus mempersembahkan korban itu dengan cara yang sama seperti yang dilakukannya pada hari Sabat, dan pintu gerbang harus ditutup semula selepas dia keluar.”
13. TUHAN berfirman, “Setiap hari pada waktu pagi, seekor anak domba yang berusia satu tahun dan tidak ada cacat harus dipersembahkan sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN.
14. Pada setiap pagi harus dipersembahkan juga 2 kilogram bijirin dan 1 liter minyak zaitun untuk dicampur dengan bijirin itu. Peraturan ini harus ditaati selama-lamanya.
15. Anak domba, bijirin, dan minyak zaitun itu harus dipersembahkan kepada TUHAN pada setiap pagi untuk selama-lamanya.”
16. TUHAN Raja memberikan perintah, “Jika penguasa memberikan sebahagian tanah pusakanya kepada salah seorang anak lelakinya sebagai hadiah, tanah itu menjadi milik anak itu dan merupakan harta keluarganya.
17. Tetapi jika penguasa memberikan sebahagian tanah pusakanya kepada seorang pegawainya, tanah itu menjadi milik penguasa lagi pada Tahun Pengembalian. Tanah itu milik penguasa, dan hanya dia dan anak-anak lelakinya tetap memiliki tanah itu.
18. Penguasa itu tidak boleh merampas tanah pusaka rakyatnya. Tanah yang diberikannya kepada anak-anak lelakinya mesti tanahnya sendiri yang telah ditentukan baginya, supaya dia tidak menindas sesiapa pun umat-Ku dengan merampas tanah mereka.”
19. Kemudian lelaki itu membawa aku ke pintu yang berhampiran dengan pintu gerbang, di bahagian selatan halaman dalam, ke bilik-bilik suci yang menghadap ke utara. Bilik-bilik itu untuk para imam. Lelaki itu menunjuk ke satu ruangan di sebelah barat bilik-bilik itu
20. lalu berkata kepadaku, “Inilah tempat bagi para imam merebus daging daripada korban untuk menghapuskan dosa dan korban untuk membayar ganti rugi. Imam juga akan memanggang korban berupa bijirin di dapur-dapur ini. Dengan demikian korban-korban yang suci itu tidak dibawa ke halaman luar sehingga mencelakakan rakyat.”
21-22. Selepas itu dia membawa aku ke halaman luar, dan diperlihatkannya kepada aku bahawa di setiap sudut ada lagi halaman yang kecil: panjangnya 20 meter dan lebarnya 15 meter.