3. Hanya raja yang memerintah boleh masuk ke situ untuk makan makanan suci di hadirat-Ku. Dia harus masuk dan keluar melalui ruang besar di sebelah dalam.”
4. Kemudian lelaki itu membawa aku ke depan Rumah TUHAN melalui pintu gerbang utara. Aku nampak Rumah TUHAN diliputi cahaya berkilauan yang menandakan hadirat TUHAN. Aku bersujud sampai ke tanah,
5. lalu TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, perhatikanlah semua yang engkau lihat dan dengar. Aku akan memberitahu engkau peraturan-peraturan bagi Rumah-Ku ini. Perhatikanlah baik-baik sesiapa yang diizinkan masuk Rumah-Ku dan sesiapa yang dilarang.
6. Beritahulah Israel, bangsa pemberontak itu, bahawa Aku, TUHAN Raja, tidak mahu lagi membiarkan mereka melakukan perbuatan jijik.
7. Mereka telah mencemarkan Rumah-Ku dengan mengizinkan orang asing yang tidak bersunat dan tidak taat kepada-Ku, masuk ke dalam Rumah-Ku, ketika orang mempersembahkan lemak dan darah korban kepada-Ku. Dengan segala perbuatan yang menjijikkan itu, mereka telah melanggar perjanjian-Ku dengan mereka.
8. Bukan mereka sendiri yang melakukan upacara suci dalam Rumah-Ku, melainkan orang asing yang ditugaskan mereka untuk melakukannya.
9. Aku, TUHAN Raja mengumumkan bahawa orang asing yang tidak bersunat dan orang yang tidak taat kepada-Ku, tidak boleh masuk ke dalam Rumah-Ku. Orang asing yang tinggal antara umat Israel pun tidak boleh masuk.”
10. TUHAN berfirman kepadaku, “Aku hendak menghukum orang Lewi yang bersama-sama umat Israel yang lain telah meninggalkan Aku dan menyembah berhala.
11. Mereka boleh bekerja di Rumah-Ku dengan menjaga pintu gerbang dan melakukan tugas di dalam Rumah-Ku. Mereka boleh menyembelih binatang yang dipersembahkan sebagai korban untuk menyenangkan hati-Ku, dan sebagai persembahan daripada umat, dan mereka wajib untuk sentiasa melayani umat.
12. Tetapi, kerana mereka melakukan upacara penyembahan berhala untuk bangsa Israel, dan dengan perbuatan itu menyebabkan umat berdosa, maka Aku, TUHAN Raja bersumpah bahawa mereka mesti dihukum.
13. Mereka tidak boleh melayani Aku sebagai imam, atau menghampiri apa-apa yang suci bagi-Ku, ataupun masuk ke Bilik Maha Suci. Inilah hukuman bagi perbuatan jijik yang dilakukan mereka.
14. Sekarang Aku menugaskan mereka melakukan pekerjaan kasar yang perlu dilaksanakan di Rumah-Ku.”
15. TUHAN Raja berfirman, “Para imam Lewi daripada keturunan Zadok, tetap setia bekerja untuk Aku apabila umat Israel meninggalkan Aku. Oleh itu, sekarang merekalah yang akan bekerja untuk Aku dan datang ke hadirat-Ku untuk mempersembahkan lemak serta darah korban.
16. Hanya mereka yang boleh masuk ke dalam Rumah-Ku, bertugas di mazbah-Ku, dan memimpin ibadat di situ.
17. Apabila mereka masuk ke halaman dalam melalui pintu gerbang, mereka harus memakai pakaian linen. Mereka tidak boleh memakai pakaian daripada bulu domba apabila sedang bertugas di halaman dalam atau di dalam Rumah-Ku.