2. Di situ aku nampak cahaya berkilauan datang dari timur, yang menandakan hadirat Allah Israel. Suara Allah nyaring seperti deru ombak laut, dan bumi bergemerlapan kerana cahaya hadirat Allah.
3. Penglihatan ini sama seperti yang aku nampak ketika Allah memusnahkan Yerusalem, dan seperti yang aku nampak di tebing Sungai Kebar. Lalu aku bersujud sampai ke tanah.
4. Cahaya yang berkilauan itu bergerak melalui pintu gerbang timur dan masuk ke dalam Rumah TUHAN.
5. Roh TUHAN mengangkat aku dan membawa aku ke halaman dalam. Di situ aku nampak Rumah TUHAN dipenuhi cahaya kemuliaan TUHAN.
6. Lelaki itu berdiri di sisiku, lalu aku mendengar TUHAN berfirman kepadaku dari dalam Rumah TUHAN,
7. “Hai manusia fana, inilah takhta-Ku. Aku akan tinggal di sini, di tengah-tengah umat Israel, dan Aku akan memerintah mereka selama-lamanya. Umat Israel dan raja-raja mereka tidak akan lagi mencemarkan nama-Ku yang suci dengan menyembah berhala, atau dengan menguburkan jenazah raja mereka di tempat ini.
8. Raja-raja mereka itu telah membina ambang dan tiang pintu istana mereka di samping ambang dan tiang pintu Rumah-Ku, sehingga hanya satu tembok memisahkan mereka daripada Aku. Mereka mencemarkan nama-Ku yang suci dengan segala perbuatan mereka yang menjijikkan. Oleh itu Aku membinasakan mereka kerana Aku sangat murka.
9. Sekarang mereka mesti berhenti menyembah berhala dan memindahkan jenazah raja-raja mereka. Jika mereka berbuat demikian Aku akan tinggal di tengah-tengah mereka selama-lamanya.”