11. Lalu jika mereka malu akan perbuatan mereka, jelaskanlah pelan Rumah-Ku kepada mereka: rekabentuk, pintu-pintu, bentuk, susunan bangunan, dan segala peraturan serta hukumnya. Tuliskanlah semuanya supaya mereka dapat melihat dan memperhatikan cara mengatur segala sesuatu, dan mentaati semua peraturannya.
12. Inilah hukum utama tentang Rumah TUHAN: Seluruh kawasan di sekelilingnya di puncak gunung itu sangat suci.”
13. Inilah ukuran mazbah menurut ukuran yang digunakan untuk mengukur Rumah TUHAN. Di sekeliling bahagian bawah mazbah itu ada sebuah parit yang dalamnya 50 sentimeter dan lebarnya 50 sentimeter juga, dengan pinggiran di tepi luarnya setinggi 25 sentimeter.
14. Dari parit ke jalur mazbah yang paling bawah, tingginya 1 meter. Bahagian tengah mazbah itu tingginya 2 meter, dan 50 sentimeter lebih sempit daripada lingkar bahagian bawah mazbah. Bahagian ketiga, iaitu puncak mazbah, juga 50 sentimeter lebih sempit daripada lingkar bahagian tengahnya.
15. Bahagian ketiga ini tempat untuk membakar korban, dan tingginya 2 meter. Pada keempat-empat sudut mazbah ada bahagian yang menonjol seperti tanduk.
16. Puncak mazbah itu berbentuk empat persegi, tiap-tiap sisinya berukuran 6 meter.
17. Bahagian tengahnya juga berbentuk empat persegi, tiap-tiap sisinya berukuran 7 meter, dengan tepi yang setinggi 25 sentimeter di pinggiran luarnya. (Lebar parit itu 50 sentimeter.) Tangga mazbah itu di sisi sebelah timur.
18. TUHAN Raja berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, dengarlah apa yang Kufirmankan kepadamu. Sesudah mazbah itu dibina, engkau harus mentahbiskannya dengan membakar korban di atasnya dan dengan memercikkan darah binatang yang dikorbankan.
19. Hanya imam-imam keturunan Zadok daripada suku Lewi boleh datang ke hadirat-Ku untuk melayani Aku. Aku, TUHAN Raja, memerintahkan hal itu. Hendaklah engkau memberi mereka seekor anak lembu jantan supaya dipersembahkan sebagai korban untuk mengampunkan dosa.
20. Hendaklah engkau mengambil sedikit darah korban itu dan membubuhkannya pada unjuran di keempat-empat sudut puncak mazbah, dan juga pada sudut-sudut bahagian tengahnya, serta di sekeliling tepi mazbah itu. Dengan cara itu engkau menyucikan dan mentahbiskan mazbah itu.
21. Ambillah anak lembu jantan yang dipersembahkan sebagai korban untuk mengampunkan dosa, dan bakarlah korban itu di tempat yang ditentukan, iaitu di luar kawasan suci Rumah TUHAN.
22. Esoknya, hendaklah engkau mengambil seekor kambing jantan yang tidak bercacat, lalu mempersembahkannya sebagai korban untuk mengampunkan dosa. Sucikanlah mazbah itu dengan darah kambing jantan itu sebagaimana yang telah engkau lakukan dengan darah anak lembu jantan itu.